Kes OKU dipukul: Kerajaan Terengganu buat mesyuarat khas

Kes OKU dipukul: Kerajaan Terengganu buat mesyuarat khas

Exco Maliaman Kassim berkata mesyuarat pada 5 Feb itu akan mencari jalan mengelak berulangnya insiden sama berulang.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim, percaya insiden OKU dipukul di pasar tani adalah kes terpencil. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu akan mengadakan mesyuarat khas pada 5 Feb bagi membincangkan pelan tindakan menangani kes lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul di tapak jualan pasar tani Chukai, baru-baru ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim, berkata mesyuarat itu turut melibatkan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Katanya, ia bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.

“Sebelum ini, kita dikejutkan dengan kes kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dilanggar wanita OKU mental. Jadi, kita nak cari jalan terbaik untuk tangani perkara ini,” katanya merujuk kes rempuh maut oleh seorang wanita dikatakan mengalami masalah mental, dalam kejadian di Dungun, Oktober tahun lalu.

Maliaman yakin kes pukul lelaki OKU berkenaan merupakan kes terpencil di negeri itu.

“Saya harap masyarakat di luar sana lebih adil dan tidak takut untuk datang ke Terengganu disebabkan kejadian ini. Ini adalah kes terpencil. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat dan dakwa mereka yang bersalah,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa, Ahmad Al Faizan Jusoh, yang mengidap penyakit gangguan bipolar kini dirawat Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Sebelum ini, dilaporkan seorang OKU mental dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu, selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.

Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu disyaki peniaga serta pembeli di pasar tani itu. Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, dilaporkan berkata lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.