Gerakan sukar ubah naratif politik jika masih bersama PN

Gerakan sukar ubah naratif politik jika masih bersama PN

Penganalisis kurang optimis tentang matlamat baharu parti komponen PN itu mahu tumpu pada kebimbangan sejagat, bukan lagi etnik atau agama.

parti gerakan
Matlamat baharu Gerakan mahu mengubah naratif politiknya turut sukar dicapai selagi ada parti politik lain yang membawa naratif berlandaskan kaum dan agama, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Matlamat Gerakan mengubah naratif politiknya yang berasaskan etnik kepada perjuangan berasaskan ‘kebimbangan sejagat’ sukar dicapai sekiranya masih bersama Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, parti yang kini dipimpin Dominic Lau akan terus terpalit dengan isu berkaitan agama dan etnik sekiranya masih terlibat dengan PN, gabungan empat parti termasuk Bersatu, PAS dan MIPP.

“Kalau Gerakan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), (matlamat ini) lebih berasas dan mereka boleh dapat undi rakyat yang sudah penat dengan politik identiti,” katanya kepada FMT.

Syaza mengulas hasrat Gerakan mengubah naratif politiknya memperjuangkan kebimbangan sejagat dengan lebih mengutamakan isu-isu berkaitan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Kelmarin, Lau berkata, parti itu ‘tidak lagi mahu memfokuskan isu agama ataupun etnik, yang sudah letih rakyat bincangkan’ sebaliknya mahu memberikan tumpuan pada isu-isu berkaitan ekonomi dan kos sara hidup, pendidikan berkualiti untuk semua, kesihatan, serta ketelusan kerajaan.

Gerakan juga akan memfokuskan pada keharmonian budaya, transformasi digital, keselamatan dan keamanan, serta memperkasa orang muda dan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Lau Zhe Wei juga daripada UIAM berpendapat, naratif politik yang ingin dibawa oleh Gerakan itu bukanlah perkara baharu dalam kancah politik negara, malah turut diperjuangkan parti-parti lain seperti PKR, DAP dan Muda.

Bagaimanapun, katanya, ‘perjuangan’ itu agak sukar selagi ada parti politik lain yang membawa naratif berlandaskan kaum dan agama.

“Secara praktikalnya perkara ni dah diuji banyak kali (apabila parti lain mempersoalkan perjuangan) yang dibawa oleh parti politik yang kuat seperti saya nyatakan tadi (PKR, DAP dan Muda),” katanya.

“Kalau Gerakan dianggap parti berbilang bangsa yang tak dapat undi masyarakat Cina, jadi ubah naratif boleh jadi cara (tarik undi). Sekurang-kurangnya Gerakan ada naratif baharu berbanding terus ikut cara lama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.