
Ketua Penerangan Wendy Subramaniam, berkata pihaknya mengambil pendirian “setuju untuk tidak bersetuju” yang dilihat sebagai tanda demokrasi dan toleransi.
“Apabila parti-parti lain mempunyai tuntutan berkaitan bangsa dan agama, ia tidak menghalang Gerakan daripada terus memperjuangkan hak-hak secara majmuk dan menyeluruh bagi rakyat negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Wendy berkata demikian mengulas pandangan penganalisis bahawa usaha Gerakan mengubah naratif politiknya kepada perjuangan berasaskan ‘kebimbangan sejagat’ sukar dicapai sekiranya masih bersama PN.
Terdahulu, FMT melaporkan Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata parti yang kini dipimpin Dominic Lau akan terus terpalit isu berkaitan agama dan etnik, jika kekal bersama PN.
Sabtu lalu, Lau berkata, parti itu ‘tidak lagi mahu memfokuskan isu agama ataupun etnik, yang sudah letih rakyat bincangkan’, sebaliknya mahu memberikan tumpuan pada isu ekonomi dan kos sara hidup, pendidikan berkualiti untuk semua, kesihatan, serta ketelusan kerajaan.
Gerakan juga akan fokus pada keharmonian budaya, transformasi digital, keselamatan dan keamanan, serta memperkasa orang muda, dan peluang pekerjaan.
Mengulas lanjut, Wendy berharap masyarakat dapat melihat keazaman Gerakan ‘dalam lensa yang lebih optimis’.
“Pendekatan dan naratif politik Gerakan dalam memperjuangkan kebimbangan sejagat, yang merangkumi kepentingan masyarakat tidak mengira kaum dan agama di Malaysia adalah pendekatan yang amat realistik,” katanya.
Dalam pada itu, Wendy memberi jaminan Gerakan akan tetap bersama PN.
“Sedangkan parti-parti dan pemimpin PH (Pakatan Harapan) juga pernah bersama dengan sahabat komponen kami sebelum ini dalam gabungan Pakatan Rakyat tanpa menzahirkan sebarang isu berkaitan agama dan kaum ketika itu.
“Namun, apabila kini kami bersama PAS, tiba-tiba ia menjadi sesuatu perkara yang tidak boleh diterima dan dipandang enteng,” katanya.