
Perintah reman bermula hari ini ke atas lelaki 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin susulan permohonan polis di Mahkamah Majistret Kemaman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Berita Harian melaporkan lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD Kemaman kira-kira 11.30 malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang OKU mental 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.
Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga serta pembeli di pasar tani itu.
Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, dilaporkan berkata lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan setakat ini.
Katanya, polis turut memanggil beberapa saksi lain untuk diambil keterangan, termasuk ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan.