Utama keamanan, gencatan banding pilihan raya, Asean beritahu junta Myanmar

Utama keamanan, gencatan banding pilihan raya, Asean beritahu junta Myanmar

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata menjadi tanggungjawab Myanmar sebagai negara anggota Asean memenuhi perjanjian gencatan senjata.

Tok Mat - Minister of Foreign Affairs of Malaysia- Press conference at ASEAN foreign ministers
Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Permukiman Menteri Luar Asean, hari ini.
LANGKAWI:
Asean menggesa kerajaan tentera Myanmar mengutamakan keamanan di negara itu menerusi sesi dialog dan perjanjian gencatan senjata, berbanding mengadakan pilihan raya.

Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata pemimpin Asean yang hadir di Langkawi bagi permukiman peringkat menteri, menyeru semua pihak segera menghentikan permusuhan dan membenarkan akses kemanusiaan.

“Kami mahu tahu apa yang mereka (Myanmar) ada dalam fikiran (dari sudut pilihan raya). Tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka adalah sangat sukar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat.

“Satu perkara yang kami tahu adalah mereka mahu mengadakan pilihan raya. Namun, kami beritahu mereka, pilihan raya bukan keutamaan ketika ini. Keutamaan sekarang ini adalah gencatan senjata.

“Dan saya tidak fikir ia tugasan sangat sukar untuk mereka penuhi. (Ia juga) tanggungjawab mereka sebagai anggota Asean.”

Myanmar bergolak sejak Februari 2021 apabila junta menjatuhkan kerajaan demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi dan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi.

Rampasan kuasa mencetuskan bantahan meluas dan pergolakan di seluruh negara, menjurus kepada tindakan keras junta tentera yang menyaksikan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.

Di sebalik kecaman antarabangsa dan persengketaan dalaman meluas, junta merancang mengadakan pilihan raya tahun ini, yang menurut pengkritik adalah muslihat untuk mengekalkan pemerintahan tentera atas nama demokrasi.

Awal hari ini, Mohamad mengumumkan pelantikan Othman Hasan sebagai utusan khas pengerusi Asean ke Myanmar.

Mohamad berkata, Othman akan berkunjung ke Myanmar “tidak lama lagi”, manakala Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn, dalam wawancara berasingan, mendedahkan Myanmar bersetuju untuk menerima utusan khas itu.

Mengulas persoalan mengenai lantikan utusan khas tetap, Kao menjelaskan utusan khas tidak tetap adalah sejajar amalan Asean yang telah lama wujud kerana membolehkan setiap negara anggota menyumbang kepada usaha diplomatik blok itu.

Asean mahu percepat rundingan COC

Mohamad berkata, Malaysia sedang bekerja keras demi memastikan rundingan Asean dengan China berkait kod tatakelakuan (COC) yang mengawal selia penggunaan Laut China Selatan berjalan mengikut jadual.

Asean dan China berikrar pada 2022 untuk mewujudkan COC, namun perbincangan dan perkembangan terlalu perlahan. Pada 2023, Asean dan China dilaporkan bersetuju untuk menyelesaikan perbincangan melibatkan COC menjelang 2026.

Mohamad ketika mengulas lanjut, berkata menteri-menteri luar Asean menyuarakan kebimbangan kesan limpahan dalam wilayah itu jika pertembungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China makin meruncing.

Ditanya mengenai panggilan telefon antara presiden AS terpilih, Donald Trump, dan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat, Mohamad berkata ia adalah “berita baik untuk mereka bercakap”.

Mohamad juga mengucapkan tahniah kepada Trump atas pelantikannya kembali mentadbir, sambil menambah berharap dunia akan menjadi “lebih stabil dan aman”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.