
Asharun Uji berkata, Umno Gua Musang perlu ‘teliti isu ini dengan cermat’ sebelum menyerang Anwar.
Hal ini kerana Anwar yang membawa agenda pengampunan Najib ke prosiding Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 9 Dis 2023, menurut ketua PKR Gua Musang itu.
“Umno Gua Musang sepatutnya ucap berbanyak terima kasih kepada PMX kerana bawa agenda (itu) hari itu. Sekurang-kurangnya hukuman penjara dan denda Najib dikurangkan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2 Feb tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara 12 tahun Najib dipendekkan kepada enam tahun, manakala denda RM250 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Asharun berkata, kerajaan tidak dapat melaksanakan titah adendum itu kerana ia bukan keputusan Lembaga Pengampunan.
“Menteri dalam negeri telah jelaskan, Jabatan Penjara laksana Perintah Pembebasan Awal berdasarkan keputusan prosiding Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Jan 2024, yang telah diturunkan tandatangan dan cop mohor Yang di-Pertuan Agong (ke-16).”
Kerajaan Anwar telah berulang kali dituduh menyembunyikan titah adendum tersebut.
Minggu lepas, Anwar berkata, titah adendum yang dikeluarkan Agong ke-16 Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertarikh 29 Jan tahun lepas telah dihantar kepada peguam negara ketika itu (Ahmad Terrirudin Salleh).
Katanya, titah adendum itu dihantar semula ke Istana Negara selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditabal menjadi Agong ke-17 pada 31 Jan tahun lepas.
Najib telah mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan membenarkannya menjalani tahanan rumah mengikut titah adendum tersebut.