Semua negara Asia Tenggara layak berada dalam Asean, kata Tok Mat

Semua negara Asia Tenggara layak berada dalam Asean, kata Tok Mat

Menteri luar itu menegaskan kepentingan keterangkuman dan kemampanan, dalam menyokong kemasukan Timor-Leste dalam blok tersebut.

mohamad hasan tokmat
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Asean tidak sepatutnya dilihat sebagai rantau dengan 10 negara tetapi sebagai 11 negara yang memperjuangkan kesejahteraan rantau itu.
LANGKAWI:
Malaysia menyeru Asean menterjemahkan keterangkuman sebenar dengan memastikan penyertaan penuh semua negara Asia Tenggara.

Dalam ucapan pembukaan di Permukiman Menteri Luar Asean di Langkawi hari ini, Menteri Luar, Mohamad Hasan, menegaskan tema kepengerusian Malaysia tahun ini iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

“Kita mahu melihat prinsip ini diserlahkan dalam keanggotaan Asean. Asia Tenggara bukanlah rantau 10 negara – kita ada 11.

“Dan semua 11 negara berhak untuk menyertai sepenuhnya dalam sebuah organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan rantau ini,” katanya, merujuk kepada Timor-Leste yang kini hanya berstatus pemerhati dalam Asean.

Mohamad, yang juga dikenali sebagai Tok Mat, berkata kredibiliti Asean bergantung kepada kemampuannya menegakkan prinsip yang diperjuangkan, sambil menggesa semua negara anggota menukar retorik kepada tindakan.

“Kita berharap semua negara anggota mengambil maklum bahawa jika kita tidak menunjukkan keterangkuman dalam organisasi kita, semua retorik kita akan menjadi kosong.

“Kita mengotakan kata-kata dan membuktikan kepercayaan serta sokongan terhadap satu sama lain,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, turut menghadiri permukiman ini sebagai pemerhati.

Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa masa depan Asean perlu merangkumi Timor-Leste bagi meningkatkan potensi ekonomi serantau dan merealisasikan visi jangka panjang blok tersebut.

Timor-Leste diiktiraf sebagai negara pemerhati Asean dan menyertai Forum Serantau Asean pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keanggotaan penuh pada 4 Mac 2011.

Negara itu juga diberi status pemerhati untuk mengambil bahagian dalam semua mesyuarat Asean, termasuk sesi pleno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.