Polis bongkar makmal proses dadah, senjata api antara dirampas bernilai RM120 juta

Polis bongkar makmal proses dadah, senjata api antara dirampas bernilai RM120 juta

Polis berkata serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur dipercayai didalangi sindiket antarabangsa.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata antara dadah dirampas Erimin 5 dan ekstasi hampir 800kg, selain kokain, syabu, dan heroin seberat tiga ke 21kg. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membongkar kegiatan sebuah makmal pemprosesan dadah dipercayai didalangi sindiket antarabangsa, menerusi tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 hingga 50 tahun dalam serbuan itu, dan merampas pelbagai jenis dadah serta senjata api, dianggarkan bernilai RM120 juta.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada 16 Jan di sebuah gudang di Puncak Alam, Shah Alam, kira-kira 2.20 petang, polis menahan lapan suspek lelaki warganegara asing, dipercayai sedang mengendalikan kerja pemprosesan dadah untuk diedar di dalam dan luar negara.

“Pemeriksaan dalam premis tersebut membawa kepada penemuan dadah jenis Erimin 5 dianggarkan 306kg, ekstasi (183.7kg), peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis bahan kimia yang kami percaya diperolehi daripada negara jiran,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Selangor.

Khaw berkata, dalam serbuan kedua pada kira-kira 2.30 petang di sebuah rumah di Puncak Alam pula, polis berjaya menahan dua lagi lelaki warga asing yang dipercayai berperanan sebagai koordinator bagi sindiket itu bersama seorang wanita warga Thailand, yang peranannya dalam kegiatan itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut menemukan lima bungkusan lutsinar yang masing-masing berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 533g dan 70 keping bungkusan tablet disyaki dadah jenis erimin 5 kira-kira 203g.

“Susulan daripada serbuan itu, kira-kira 5.30 petang, dengan dipandu arah tiga suspek dari serbuan kedua, pemeriksaan telah dibuat di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai stor penyimpanan hasil pemprosesan dadah tersebut.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis ekstasi kira-kira 310kg, kokain (21.1kg), syabu (5.2kg), heroin (3.6kg), ‘heroin base’ (1.8kg), ganja (0.5kg), dan ketamin (0.4kg), selain 15 pucuk pistol, satu laras sub machine gun dan 900 butir peluru.

Rampasan forklift

Khaw berkata dalam serbuan ketiga, kira-kira 2.40 petang polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga dipercayai berperanan sebagai koordinator di sebuah rumah di Seri Kembangan.

Beliau berkata, semakan mendapati enam suspek lelaki mempunyai rekod jenayah bagi kes berkaitan dadah, bunuh, jenayah kekerasan serta penipuan, dan tiga suspek didapati positif dadah jenis ketamin.

“Polis juga percaya sindiket ini mula aktif sejak penghujung tahun lepas. Barang rampasan lain dalam kes ini antaranya melibatkan aset seperti beberapa kenderaan, forklift, dan wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta,” katanya.

Khaw berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 Jan lepas dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.