Maut dilanggar ketika ambil gambar kemalangan

Maut dilanggar ketika ambil gambar kemalangan

Pejalan kaki berusia 68 tahun dilanggar Perodua Alza yang terbabas ketika mengambil gambar kemalangan yang berlaku sebelum itu.

Seorang pejalan kaki berusia 68 tahun yang cedera parah selepas dilanggar sebuah Perodua Alza meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut dilanggar kereta yang hilang kawalan ketika dia sedang mengambil gambar kejadian kemalangan di KM14, Lebuh Raya Iskandar Sultan, Johor Bahru, pagi tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pejalan kaki berusia 68 tahun yang cedera parah pada bahagian kepala itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 40 tahun, dari arah Jalan Prisma menuju ke Johor Bahru, cuba mengelak kereta Honda CRV yang terbabas, sebelum melanggar batu konkrit pembahagi jalan.

“Akibatnya, Perodua Alza itu terbabas dan terlanggar mangsa yang sedang mengambil gambar kejadian kemalangan sebelum itu.

“Pemandu Perodua Alza cedera pada bahagian kepala, muka, tangan kiri dan kaki kanan,” katanya, lapor Bernama.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Ong Jin Siong di talian 011-16490168.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.