Malaysia penting permudah Timor-Leste diserap anggota penuh Asean

Malaysia penting permudah Timor-Leste diserap anggota penuh Asean

Timor-Leste capai kemerdekaan pada 2002 dan secara rasmi memohon menyertai Asean pada 2011.

H.E. Bendito Freitas
Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, memuji sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia serta kapasiti kepemimpinannya dalam membimbing proses bersejarah itu.
LANGKAWI:
Menteri Luar Asean mengalu-alukan kemajuan Timor-Leste dalam melaksanakan hala tuju untuk ia mendapatkan keanggotaan penuh dalam blok serantau itu.

Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata menteri-menteri turut menyatakan komitmen memudahkan proses penyertaan Timor-Leste ke dalam Asean.

“Ramai yang menekankan keperluan untuk menyokong usaha Timor-Leste melalui program pembinaan kapasiti dan sokongan teknikal khusus,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Permukiman Menteri Luar Asean.

Timor-Leste diwakili Menteri Luar dan Kerjasama Bendito dos Santos Freitas dalam mesyuarat itu.

Sementara itu, dalam satu wawancara di luar permukiman, Freitas menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 akan memainkan peranan penting dalam memudahkan penerimaan Timor-Leste sebagai anggota penuh blok itu.

Beliau memuji sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia serta kapasiti kepemimpinannya dalam membimbing proses bersejarah itu.

“Sejak Timor-Leste diterima secara prinsip pada Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 di Kemboja dan Phnom Penh pada 2022, saya melihat Timor-Leste aktif terlibat dalam semua acara, sidang kemuncak dan mesyuarat.

“Dengan kepengerusian Malaysia ketika ini, kami amat berharap mendapat sokongan penuh dari Malaysia,” katanya.

Freitas, yang kali kedua menghadiri permukiman ini sebagai pemerhati Asean, menyifatkan 2025 sebagai tahun penting bagi Timor-Leste, menggambarkannya sebagai “detik bersejarah dan penentu” bagi negaranya.

Beliau menekankan penyertaan Timor-Leste akan memperkaya kesatuan dan kepusatan Asean, sekali gus menambah dimensi baharu dalam hubungan diplomatik dan antarabangsa blok itu.

“Timor-Leste mungkin kecil, tetapi kami mempunyai suara dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa. bersama negara anggota Asean lain, kita boleh menjadi satu kuasa, satu suara sebagai suara Asean, memperkukuh kesatuan dan kepusatan.

“…terutamanya kerana kita turut mengenal pasti diri kita sebagai blok serantau dengan potensi membawa keamanan, pembangunan, daya tahan dan kestabilan untuk kemanusiaan,” katanya.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai Asean pada 2011.

Pada November 2022, semasa kepengerusian Kemboja, Timor-Leste diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 Asean.

Kesepuluh negara anggota Asean bersetuju memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste, membolehkan penyertaannya dalam semua mesyuarat Asean, termasuk pleno sidang kemuncak.

Pada Sidang Kemuncak Asean ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia, Mei 2023, Asean menerima pakai hala tuju untuk keanggotaan penuh Timor-Leste bersama lampirannya dan menggalakkan negara itu mempergiatkan usaha persediaan untuk keahlian penuh Asean.

Permukiman selama dua hari di Langkawi ini merupakan mesyuarat utama pertama di bawah kepengerusian Malaysia bagi Asean 2025, membuka tirai kepada tahun yang sibuk dan signifikan.

Malaysia sebelum ini mempengerusikan Asean pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.