
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata cadangan bakal dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan itu memerlukan penelitian lebih lanjut.
Beliau berkata satu daripada isunya adalah masalah keciciran di peringkat sekolah rendah walaupun kerajaan telah lama mewajibkannya.
“Perlu ada data punca keciciran di peringkat sekolah rendah, jika tidak sasaran hanya indah khabar dari rupa.
“KPM perlu tetapkan sasaran realistik terlebih dahulu dan pada masa sama ncari penyelesaian (keciciran di peringkat rendah),” katanya kepada FMT sambil menggariskan ketiadaan peperiksaan di mungkin merumitkan lagi keadaan.
Menurut Azimah, tanpa menyelesaikan masalah di peringkat akar itu, isu keciciran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin tidak dapat diselesaikan menerusi dasar mewajibkan pendidikan sekolah menengah.
KPM dijangka membentangkan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah di Parlimen bulan depan sebagai langkah proaktif menangani isu keciciran murid selain meningkatkan kualiti sistem pelajaran negara
Rang undang-undang itu turut bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan SPM pada masa depan.
Ahli akademik Ainol Madziah Zubairi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata dasar itu dapat menentukan generasi muda tidak tertinggal dalam mendapat akses untuk meneruskan pembelajaran.
Menurutnya, sebelum ini kajian menunjukkan antara sebab utama pelajar tercicir dan tidak menamatkan sekolah menengah adalah faktor ekonomi.
“Perkara itu disebabkan masalah kewangan dan langkah intervensi perlu diambil segera untuk menjayakan dasar wajib sekolah menengah,” katanya.