Noh Omar, anak Rais Yatim dilantik ahli MPT Bersatu

Noh Omar, anak Rais Yatim dilantik ahli MPT Bersatu

Pelantikan itu dibuat Presiden Muhyiddin Yassin berikutan mesyuarat MPT pertama tahun ini petang tadi.

noh omah, danni rais
Noh Omar dan Danni Rais diumumkan sebagai ahli baharu MPT Bersatu.
PETALING JAYA:
Noh Omar dan Danni Rais, iaitu anak bekas menteri Rais Yatim, telah dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Setiausaha Agung Azmin Ali berkata, pelantikan Noh, yang juga bekas ketua Umno Selangor, dan Danni dibuat Presiden Muhyiddin Yassin pada mesyuarat MPT pertama tahun ini, yang diadakan petang tadi.

Ahli lain yang dilantik terdiri daripada Adun Jeram Harrison Hassan, bekas Adun Bertam Khaliq Mehtab Ishaq dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak Alkaf Jaziri Abdillah Suffian.

“Gabungan pimpinan muda, profesional dan pimpinan yang berpengalaman diyakini akan membantu memperkukuh organisasi parti dan meneruskan idealisme Bersatu,” kata Azmin dalam kenyataan.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan parti itu menghadapi PRN Sabah yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

“Bersatu sedang mengadakan perbincangan dan libat urus dengan pelbagai pihak dalam kalangan pemegang taruh di Sabah, memperhalusi kawasan-kawasan tumpuan dan menyediakan manifesto untuk masa depan rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MPT turut diberikan taklimat yang cukup komprehensif oleh sayap Srikandi, Pemuda dan Bersekutu mengenai hala tuju dan kegiatan mereka pada masa ini dan akan datang.

Pada Julai tahun lepas, Noh mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat Umno pada 2023 kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.

Dalam kenyataannya hari ini, Azmin tidak menyentuh berhubung peletakan jawatan tiga exco Pemuda Bersatu dalam kepimpinan sayap baru-baru ini.

Pada 5 Jan lepas, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua biro profesional dan sukarelawan Bersatu, namun mengekalkan jawatan sebagai exco Pemuda tanpa portfolio, berikutan perbezaan pendiriannya dengan Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham.

Susulan itu, dua lagi exco, iaitu Abdul Asis Rishad Khan dari Kinabatangan dan Afrizan Jamil dari Semporna, turut mengumumkan peletakan jawatan. Kedua-duanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa Jabatan Pengurusan Pemuda Bersatu oleh Hilman pada 29 Nov lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.