Malaysia akan bantu bina semula Gaza

Malaysia akan bantu bina semula Gaza

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan berdoa agar gencatan senjata yang diumumkan akan berterusan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap kepada jemaah di Masjid East London selepas selesai menunaikan solat Jumaat. (Gambar Bernama)
LONDON:
Malaysia, yang telah sekian lama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin, akan membantu dalam pembinaan semula Gaza.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan berdoa agar gencatan senjata yang diumumkan semalam berterusan.

“Ada cabaran, kami berdoa (gencatan senjata) akan kekal. Kami akan bantu dalam pembinaan semula Gaza,” katanya kepada jemaah Masjid East London selepas solat Jumaat.

Anwar berkata ia sesuatu yang baik bahawa Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), memfokuskan pada pembangunan semula Gaza.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu, diusahakan Mesir, Amerika Syarikat dan Qatar, akan dikuatkuasakan Ahad ini dan menyasarkan untuk menamatkan konflik 15 bulan di Gaza.

Pada Khamis, Anwar berkata walaupun pembinaan semula menjadi keutamaan, kehilangan nyawa lebih 46,700 rakyat Palestin dan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal perlu turut diakui dan tidak dilupakan.

Perdana menteri, yang kini dalam lawatan kerja lima hari ke United Kingdom, menyerahkan al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris kepada pihak pengurusan masjid, sebelum makan tengah hari bersama ahli Majlis Muslim Britain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.