KPDN nafi harga ayam di Sabah cecah RM16.50

KPDN nafi harga ayam di Sabah cecah RM16.50

Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan dan kutipan harga membabitkan 142 premis semalam mendapati dakwaan seorang Ahli Parlimen itu tidak benar.

wet market pasar ayam
Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan harga ayam terkawal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan harga ayam segar naik sehingga RM16.50 sekilogram di Sabah seperti didakwa seorang Ahli Parlimen.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata, pihaknya mendapati dakwaan itu tidak benar susulan pemeriksaan dan kutipan harga oleh pegawai pemantau harga (PPH) semalam, membabitkan 142 premis.

“Ayam bersih Super dijual dengan harga RM14.00 sekilogram di Pasar Umum Sandakan dan Premis Chan Sui Teck, Sandakan, manakala bagi harga ayam standard, yang tertinggi adalah di Premis Parkwell Departmental Store dengan harga RM13.29 sekilogram.

“Sehubungan itu, dakwaan menyatakan bahawa harga ayam di Sabah mencecah RM16.50 adalah tidak benar,” katanya menambah, PPH melaksanakan pemantauan harga setiap hari.

Fuziah memberitahu FMT sedemikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin bahawa harga ayam segar di Sabah dilihat lebih tinggi berbanding Semenanjung, yang menjualnya sekitar RM7 hingga RM9 sekilogram.

Fuziah juga berkata, pihaknya akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan harga ayam terkawal dan pihak peniaga tidak mengambil keuntungan tidak munasabah.

“KPDN Sabah juga mengambil langkah serius berhubung isu harga ayam dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan yang tegas terhadap peniaga-peniaga yang ingkar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.