Kontroversi ‘ham & cheese’: Akmal bertindak sendiri, kata penganalisis

Kontroversi ‘ham & cheese’: Akmal bertindak sendiri, kata penganalisis

Penganalisis berkata, ketua Pemuda Umno cenderung menonjolkan dirinya sebagai pembela sensitiviti Melayu-Islam yang lantang.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sebelum ini menggesa polis dan agensi berkaitan mengambil tindakan selepas UM menutup dua kedai KK Mart di kampusnya sementara siasatan berjalan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ dijual di KK Mart baru-baru ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan Umno kerana ia dilihat sebagai kerja seorang individu sahaja dalam parti, kata penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh cenderung menonjolkan dirinya sebagai pejuang

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Akmal hanya jadi diri Akmal dengan cuba menunjukkan bahawa Umno masih menjaga masyarakat Melayu,” katanya kepada FMT.

Syaza berkata, Pemuda Umno seolah-olah memainkan isu itu untuk kepentingan politik, walaupun sudah berada dalam kerajaan perpaduan.

“Mengapa buat kenyataan secara terbuka? Kerana penontonnya adalah rakyat. Ini bukan suatu isu pun,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, isu itu mungkin tidak memberi kesan buruk terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahupun Umno.

Dinamik dalaman Umno

Penganalisis politik di Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi berkata, isu itu mengetengahkan dinamik dalaman Umno, dengan individu berhasrat menonjolkan diri sebagai juara dalam komuniti mereka.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

“Ini tidak semestinya pendirian rasmi parti. Presiden (Umno) Zahid Hamidi telah menjelaskan bahawa pendirian parti itu harus diumumkan sama ada oleh beliau atau setiausaha agung,” katanya.

Awang Azman berkata, Akmal sedang cuba menampilkan dirinya sebagai ‘hero’.

Beliau bersetuju isu itu tidak akan memberi kesan terhadap kerajaan perpaduan, tetapi menggesa Anwar supaya lebih tegas dalam menguruskan situasi sebegini.

“Beliau perlu menegur individu-individu yang berlagak hero ini secara terbuka untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau boleh menguruskan kerajaan perpaduan.

“Jika tidak, ia boleh mempengaruhi sentimen rakyat dan menghakis keyakinan terhadap kepimpinannya,” katanya.

Terdahulu, Akmal menggesa polis dan agensi berkaitan mengambil tindakan selepas UM menutup dua kedai KK Mart di kampusnya sementara siasatan berjalan.

Beliau berkata, ‘luka lama’ berhubung penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka itu tahun lepas masih belum sembuh.

Komennya itu dikritik keras oleh Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng, yang menggesa Akmal agar tidak mempolitikkan isu itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong menuduh Akmal mensensasikan isu itu dengan menggambarkan seolah-olah tiada tindakan diambil, walaupun universiti telah mengarahkan kedua-dua kedai itu ditutup serta-merta

Naib pengerusi parti itu, Nga Kor Ming turut membidas mereka yang membuat kecoh mengenai perkara itu. Menurutnya, ‘ham’ hanya merujuk daging yang diawet.

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengesahkan sandwic terbabit, bersama syarikat pengeluarnya, tidak mendapat sijil halal.

Bersaing jadi pembela

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, insiden itu mencerminkan corak dalam Umno, dengan Pemuda mahu meletakkan dirinya sebagai pelindung Islam. DAP pula mahu dilihat sebagai menentang ekstremisme, katanya.

“Ini bukan kali pertama. Kritikan Akmal sebelum ini terhadap DAP berhubung isu stokin kalimah ‘Allah’ lebih kurang sama pendiriannya. Kedua-dua pihak menggunakan kontroversi ini untuk menunjukkan mereka membela komuniti dan parti politik mereka,” katanya.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“DAP, sebaliknya, mahu melawan ekstremisme Umno. Tiada perkara baharu di sini, dengan Umno dan DAP sama-sama menggunakan isu itu untuk perjuangan masing-masing,” katanya.

Bagi Syaza, cabarannya adalah mendidik orang ramai untuk membezakan antara retorik dan prestasi sebenar kerajaan perpaduan.

“Memang mudah terperangkap dalam kekecohan, tetapi rakyat mesti melihat di sebaliknya,” katanya.

“Apa yang jadi taruhan bukanlah keruntuhan kerajaan perpaduan, tetapi tanggapan rakyat terhadap cara pemimpin menangani isu ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.