
Melalui kempen yang dilaksanakan dari 1 Jan hingga 31 Mac, PTPTN menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 untuk 25 pemenang yang melaksanakan bayaran balik pinjaman melalui aplikasi myPTPTN.
Ketua Eksekutif Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman pendidikan dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan mendapat 10 cabutan, manakala pengguna baharu mendaftar dalam tempoh kempen layak 20 cabutan.
Penyertaan adalah automatik, katanya, sambil menambah program itu juga menawarkan kategori khas buat pelanggan baharu yang ke-2.5 juta berjaya memuat turun dan membuat pengesahan identiti di myPTPTN.
Bagi kategori ini, pemenang berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN.
“Peminjam boleh menggunakan aplikasi web myPTPTN untuk membuat rundingan bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
“PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan berkaitan pinjaman dan bayaran balik dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan yang mudah, cepat dan selamat,” kata Dasuki dalam kenyataan.
Selain itu, kempen ini bertujuan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar kelestarian dana pendidikan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
“Melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai akan menerima tambahan kewangan yang secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman.
“PTPTN berharap dengan penganjuran kempen ini akan meningkatkan kesedaran peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui aplikasi myPTPTN,” katanya.