
Seorang peguam berkata, telefon bimbit lazimnya mengandungi perbualan peribadi dan fail dikongsi antara peguam dengan klien mereka, yang mesti kekal sulit dan terlindung daripada akses tidak wajar.
“Keistimewaan undang-undang sangat penting. Ini bermakna apa yang klien beritahu peguam mereka kekal rahsia,” kata peguam S Raveentharan.
Beliau berkata, Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 melindungi perbualan antara peguam dan klien mereka, kecuali jika berkait jenayah.
“Polis tidak boleh sesuka hati memeriksa telefon peguam. (Tindakan) ini menggugat kepercayaan yang sangat penting dalam kerja perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain bahawa polis boleh memeriksa telefon ketika menjalankan siasatan jika mengesyaki jenayah telah dilakukan.
Raveentharan berkata, polis seolah-olah menafsirkan bidang kuasa mereka terlalu meluas, yang menurutnya, boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa. Beliau bertanya sama ada polis juga akan memeriksa telefon hakim dan menteri ketika menjalankan siasatan.
“Jika telefon peguam boleh diperiksa secara rambang, bagaimana kami hendak lindungi kerahsiaan klien?” soalnya.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang juga seorang peguam berkata, polis tiada hak memeriksa telefon seseorang melainkan dia telah ditangkap.
“Jika seorang pegawai polis menahan saya dan meminta telefon saya, saya pasti akan menolak. (Tindakan) itu tidak bermakna menghalang kerja polis, sekalipun anda bukan peguam,” katanya.
Peguam Sankara Nair meminta peguam negara mengeluarkan peraturan yang jelas mengenai pemeriksaan telefon. Peraturan itu patut diguna pakai bagi semua agensi penguatkuasaan termasuk Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), katanya.
“Peguam negara, sebagai pegawai tertinggi undang-undang negara, harus menetapkan garis panduan yang jelas tentang masa dan cara telefon boleh diperiksa. Ini sangat penting sekarang ketika telefon pintar dan tablet sudah menjadi kelaziman,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pemeriksaan secara rambang tanpa alasan kukuh mungkin dicabar di mahkamah, tetapi berkata, keterangan yang ditemukan dalam pemeriksaan sedemikian masih boleh digunakan di mahkamah.
“Pihak polis dan orang ramai perlu peraturan yang jelas untuk mengelakkan kekeliruan dan salah guna kuasa,” katanya.
Perbahasan mengenai pemeriksaan telefon bermula selepas sebuah video tular menunjukkan pegawai polis memeriksa telefon seorang individu.
Ketua polis negara kemudiannya berkata pemeriksaan sedemikian dibenarkan jika polis mengesyaki individu tersebut telah melakukan jenayah. Bagaimanapun, hanya pegawai berpangkat inspektor atau lebih tinggi dibenarkan berbuat demikian, dengan syarat mereka mempunyai alasan yang sah.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyangkal dakwaan itu, kerana tindakan sedemikian ‘tidak boleh dipertahankan dari segi undang-undang’ dan menjadi ancaman kepada kebebasan awam.
LFL berkata, pemeriksaan sedemikian hanya sah jika polis mempunyai syak wasangka munasabah berhubung individu tertentu. Polis tidak boleh memeriksa telefon bimbit kecuali ketika siasatan atau pemeriksaan yang sedang berjalan, tambahnya.
Kumpulan itu berkata, pemeriksaan telefon hanya boleh dilakukan terhadap individu tertentu dalam lingkungan siasatan jenayah. Polis juga mesti mempunyai syak wasangka munasabah terhadap penglibatan individu tersebut dalam kes jenayah yang sedang disiasat.
Menurut LFL, pemeriksaan telefon secara rutin pada sekatan jalan raya dilarang oleh undang-undang. Orang ramai berhak menolak tuntutan polis agar mereka menyerahkan telefon, katanya.