
Katanya, permukiman itu antara inisiatif kementerian untuk meningkatkan keterlibatan pemegang taruh secara keseluruhan sebelum keputusan dibuat.
“Isu utama melibatkan ketidakseimbangan agihan petugas kesihatan termasuk waktu bekerja berlainan, sumber manusia dan peningkatan mutu perkhidmatan akan dibincangkan.
“Beri sedikit masa untuk kami kemukakan hasil pemukiman nanti. Segala kritikan akan kami cerakin dengan rumusan dan penyelesaian terbaik pada akhirnya,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, satu sesi libat urus diadakan melibatkan lebih 1,000 pegawai dan pakar perubatan secara fizikal dan dalam talian pagi tadi.
“Dapatan daripada sesi ini akan dibincangkan pada pemukiman tersebut,” katanya.
WBB mengehadkan doktor dan doktor gigi di perkhidmatan kesihatan awam bertugas 18 jam berturut-turut, berbanding 24 hingga 33 jam berturut-turut ketika ini.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan mengenai WBB yang dikatakan akan dirintis di tujuh hospital mulai 1 Feb.
Antara lain, Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira berkata pendapatan pegawai perubatan awam dan pakar akan terjejas di bawah sistem ini, kerana elaun ‘on-call’ hanya akan diberi kepada mereka yang bertugas pada hujung minggu dan cuti umum.
Katanya, syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu.
Semalam, Pemuda Umno menggesa KKM siasat dan bertindak terhadap individu di sebalik ‘surat rasmi’ mengatakan sistem WBB akan berkuat kuasa di beberapa hospital tertentu.
Gesaan itu selepas Dzulkefly berkata beliau tidak meluluskan cadangan sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam.
Dzulkefly memberitahu pemberita bahawa WBB masih di peringkat cadangan dan diperhalusi.