CBP komited dalam pematuhan perbankan

CBP komited dalam pematuhan perbankan

Co-opbank Pertama menanggung kos lebih tinggi berbanding institusi kewangan lain.

Co-opbank Pertama
Co-opbank Pertama (CBP) meningkatkan keyakinan pendeposit dan anggotanya dengan kekal komited mematuhi garis panduan pihak berkuasa.
PETALING JAYA:
Sebagai institusi koperasi bertanggungjawab yang dikawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Co-opbank Pertama (CBP) sentiasa komited memastikan operasinya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Ia termasuk pematuhan empat nisbah kehematan berdasarkan arahan yang dikeluarkan BNM selaku bank pusat melalui surat pengambilan deposit daripada bukan anggota bertarikh 24 Jun 2014.

Empat nisbah terbabit adalah seperti berikut:
1) Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR)
2) Nisbah Kecairan Aset (LAR)
3) Nisbah Perlindungan Kerugian Pembiayaan (FLCR)
4) Nisbah Pembiayaan kepada Deposit (FDR)

Namun Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar menjelaskan untuk mematuhi keperluan minimum digariskan BNM terhadap nisbah kehematan berkenaan, bank koperasi itu memerlukan kos tinggi berbanding institusi kewangan lain.

Bagaimanapun komitmen untuk terus mematuhi memberi gambaran kemampuan CBP dalam menguruskan modal, kecairan, dan risiko kerugian pembiayaan berpotensi sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pendeposit dan anggotanya.

Bagi memberi lebih kefahaman berhubung tiga utama kehematan terbabit. FMT memperincikan maklumat seperti berikut:

Apa itu RWCR?

Nisbah modal berwajaran risiko atau RWCR iaitu nisbah yang mengambil kira jumlah modal berbanding jumlah aset berwajaran risiko yang dimiliki.

Khairil Anuar menjelaskan CBP perlu mematuhi keperluan minimum pematuhan RWCR sebanyak 16% berbanding institusi kewangan lain yang perlu memenuhi minimum 8%.

“Ini menyebabkan CBP perlu mempunyai lebih banyak modal seiring dengan peningkatan aset berwajaran risiko untuk melindungi diri daripada kerugian yang boleh berlaku pada masa depan.

“Dalam erti kata lain, RWCR menggambarkan sejauh mana CBP dapat menyerap kerugian berpotensi,” ujarnya.

Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata CBP menanggung kos lebih tinggi untuk mematuhi empat nisbah kehematan berdasarkan arahan BNM.

Kos pematuhan LAR yang tinggi

Khairil Anuar turut menjelaskan selain RWCR, CBP juga perlu mematuhi keperluan minimum pematuhan LAR sebanyak 25% bagi mengukur kecairan aset cair CBP berbanding keseluruhan aset yang
ada.

Berbeza dengan institusi kewangan yang menggunakan nisbah liputan kecairan (LCR), LAR hanya digunakan CBP dan memerlukan kos pematuhan tinggi.

FLCR urus risiko kredit

Beliau turut menjelaskan penggunaan FLCR iaitu nisbah mengukur jumlah peruntukan penjejasan pembiayaan dibuat dalam kunci kira-kira untuk menampung pembiayaan yang telah dikeluarkan tetapi tidak berbayar

“Nisbah ini penting kerana ia membantu bank dan pelabur untuk menilai sejauh mana CBP mampu menguruskan risiko kredit dan melindungi aset CBP.

“Pemahaman fungsi FLCR membolehkan pihak pengurusan CBP merancang strategi yang lebih berkesan bagi memastikan kelestarian dan kemampanan perniagaan CBP,” jelasnya.

Khairil Anuar juga menjelaskan ia juga dapat memberi petunjuk kepada pelabur dan pihak berkepentingan mengenai tahap cabaran yang dihadapi oleh CBP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.