2 lagi exco Pemuda Bersatu letak jawatan lantikan

2 lagi exco Pemuda Bersatu letak jawatan lantikan

Abdul Asis Rishad Khan dari Kinabatangan dan Afrizan Jamil dari Semporna melepaskan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Jabatan Pengurusan Pemuda, namun kekal sebagai exco tanpa portfolio.

Abdul Asis Rishad Khan (kiri) dan Afrizan Jamil berkata peranan tanpa portfolio akan memberi ruang dan peluang kepada mereka berkhidmat lebih berkesan serta memfokuskan pengukuhan Bersatu.
PETALING JAYA:
Dua lagi Exco Pemuda Bersatu mengumumkan peletakan jawatan lantikan dalam kepimpinan sayap namun mengekalkan jawatan sebagai exco tanpa portfolio.

Mereka ialah Abdul Asis Rishad Khan dari Kinabatangan dan Afrizan Jamil dari Semporna. Kedua-duanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa Jabatan Pengurusan Pemuda Bersatu oleh Ketua Muhammad Hilman Idham pada 29 Nov lalu.

Sebelum ini, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin mengumumkan peletakan jawatan ketua biro profesional dan sukarelawan Bersatu pada 5 Jan lalu namun mengekalkan jawatan sebagai exco Pemuda tanpa portfolio, berikutan perbezaan pendiriannya dengan Hilman.

Dalam kenyataan berasingan, Asis dan Afrizan berkata sebagai antara tiga exco Pemuda dari Sabah yang telah dipilih oleh perwakilan, peranan yang diberikan tidak signifikan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada Pemuda Bersatu.

Malah, kata mereka, meletakkan kesemua tiga exco Pemuda dari Sabah dalam satu Jabatan Pengurusan tanpa peranan khas adalah dilihat tidak wajar.

“Peranan tanpa portfolio akan memberi ruang dan peluang untuk kami berkhidmat dengan lebih berkesan serta memfokuskan pengukuhan Bersatu di Sabah bagi menghadapi PRU16 dan PRN tidak lama lagi,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.