
James Chin dari Universiti Tasmania berkata Umno Sabah sedar tidak mampu bertanding solo dan memerlukan pakatan untuk meningkatkan peluang kemenangan.
Beliau berkata sentimen tempatan di Sabah menunjukkan PH ‘lebih kurang bersetuju untuk bersama GRS’, walaupun Barisan Nasional (BN) Sabah juga berhasrat melakukan pakatan pilihan raya.

“Jadi Umno tidak rugi apabila ia menyerang PH. Kita boleh jangkakan perkara ini akan berulang-ulang dalam beberapa bulan akan datang,” kata Chin kepada FMT.
Pada Isnin, Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed menggesa PH untuk tampil ke hadapan dan menjelaskan sama ada ia berhasrat untuk bekerjasama dengan BN pada PRN tahun ini.
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin, bagaimanapun menggesa Umno memberi tumpuan kepada urusannya sendiri dan mengelak daripada campur tangan dalam rundingan dalaman PH.
PH Sabah berkata ia berhasrat menyelesaikan semua rundingan kerusi secara dalaman terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan dengan parti lain mengenai cadangan pakatan pilihan raya.
‘Ketegangan’
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata Razeef dan Jeffery yang saling berbalas kenyataan adalah bukti bahawa ‘saluran komunikasi terbuka’ yang diwujudkan antara BN Sabah dan PH pada November tidak membuahkan hasil.

Beliau berkata ketegangan antara kedua-dua gabungan itu jelas kelihatan, sambil menambah bahawa tiada perkembangan sejak pemimpin kedua-dua parti mengadakan perbincangan tidak rasmi di Kota Kinabalu.
Bilcher berkata Jeffery kelihatan berminat untuk menonjolkan pendirian Umno Sabah dan mahu mendapatkan ‘seperti jaminan’ daripada PH.
“Beliau mahu menunjukkan Umno Sabah bersedia dan komited untuk bekerjasama dengan PH. Sementara itu, nada respons PH Sabah adalah sama seperti mengatakan mereka tidak akan dipaksa menyertainya.”
Bilcher juga berkata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mendapat sokongan daripada ‘majoriti besar’ daripada 26 ketua bahagian PKR Sabah yang membayangkan hala tuju yang mungkin diambil parti itu dan PH Sabah pada PRN nanti.
“Ia menunjukkan PKR Sabah mungkin lebih cenderung untuk mengekalkan status quo dan bekerjasama dengan GRS. Kedua, ia menunjukkan PKR Sabah mementingkan kestabilan politik demi ekonomi negeri,” katanya.
Bilcher bagaimanapun berkata PKR Sabah masih berbelah bahagi dalam isu itu.
Beliau berkata dakwaan Setiausaha PKR Sabah Sazalye Donol Abdullah bahawa Hajiji mendapat sokongan seluruh parti, diperkecilkan oleh pemimpin lain yang menganggapnya sebagai pandangan peribadi.
“Ini menunjukkan terdapat perbezaan pandangan di kalangan pemimpin PKR Sabah berhubung kerjasama dengan pihak luar.”