
Firma Ernst & Young (EY) dan KPMG masing-masing melepaskan tanggungjawab mereka pada 2010 dan 2013.
Memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap saman sivil difailkan 1MDB, Arul, yang juga presiden kumpulan syarikat itu, berkata beliau tidak bertanya perkara tersebut kerana tidak berada di 1MDB ketika itu.
Beliau hanya menyertai syarikat itu pada Januari 2015.
Arul berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam 1MDB, Lim Chee Wee, berhubung status pelaburan Brazen Sky.
Lim: Adakah anda berhubung dengan pihak berkepentingan bekas juruaudit anda, EY dan KPMG, untuk memahami mengapa mereka meletak jawatan atau ditamatkan?
Arul: Tidak.
Bagaimanapun, Arul bersetuju dengan Lim bahawa penemuan juruaudit itu adalah ‘serius’.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kemudian mencelah dan bertanya sama ada Arul pernah melihat laporan teguran daripada KPMG. Arul menjawab bahawa beliau mengetahui kewujudan laporan itu.
Deloitte kemudiannya dilantik sebagai juruaudit bagi menggantikan KPMG.
Dalam kenyataan pembukaan, mahkamah dimaklumkan bahawa Deloitte dilantik selepas KPMG membangkitkan kebimbangan serius mengenai kebolehpercayaan maklumat yang diberikan oleh pihak pengurusan 1MDB berhubung status pelaburan Brazen Sky.
Deloitte berulang kali meminta dokumen serta mesyuarat untuk mengesahkan secara bebas status pelaburan tersebut.
Namun, Deloitte meletak jawatan sebagai juruaudit pada 26 Feb 2016.
Arul Kanda dilantik sebagai pengarah 1MDB pada Januari 2015 kemudian sebagai CEO dan presiden kumpulan pada tahun seterusnya.
Pada Mei 2021, 1MDB menyaman Arul Kanda dan bekas pengerusi 1MDB Irwan Siregar Abdullah atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi yang menyebabkan kerugian dikatakan sebanyak USD1.83 bilion, dikaitkan dengan pelaburan syarikat itu dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd.
Dana tersebut dikatakan ditukar menjadi pelaburan dalam Brazen Sky Ltd, dan didakwa boleh diperoleh semula melalui Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Irwan menggelapkan dana syarikat sebanyak USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion lagi dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.
Selain itu, 1MDB menuduh Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melanjutkan perjanjian pekerjaannya, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan syarikat, sehingga menyebabkan kerugian dan kerosakan.
Syarikat itu menuntut ganti rugi USD6.59 bilion daripada Arul Kanda dan Irwan, serta tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkait lanjutan perjanjian pekerjaan Arul Kanda.
Irwan berkata, peranannya sebagai CEO adalah untuk melaksanakan pelan rasionalisasi bertujuan memulihkan syarikat itu, melunaskan hutang sedia adanya dan menggerakkan semula projek tertangguh, termasuk Bandar Malaysia dan TRX Development.
Irwan yang dilantik sebagai pengerusi oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2016 berkata, beliau dilantik khususnya untuk mengemudi 1MDB melalui pelan rasionalisasi tersebut.
Peguam Sanjay Mohan dan Adam Lee mewakili Arul Kanda, manakala Irwan diwakili Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan.
Lim juga dibantu peguam Brendan Navin Siva dan Raphael Kok.
Pendengaran kes disambung esok.