
Ketika memberi keterangan pembelaan terhadap saman itu, Kamarul Zaman Yusoff memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau memiliki diploma dalam pengajian pentadbiran dan undang-undang, serta ijazah sarjana muda sastera dalam sains politik dan psikologi.
Katanya, beliau juga mempunyai ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam sejarah politik Malaysia.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Yeoh, Kamarul mengakui tiada satu pun kertas kajian diterbitkan dalam senarai CV beliau berkaitan kajian perbandingan agama, undang-undang Malaysia atau isu perundangan negara ini.
Beliau juga bersetuju banyak artikelnya mengenai PAS dan minat utamanya dalam pembangunan PAS sebagai sebuah parti politik.
Yeoh memfailkan saman terhadap Kamarul atas dua kandungan ditulis: satu artikel bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP di Malaysia” dan laporan polis dibuatnya terhadap Yeoh, yang diterbitkan dalam Facebook lapan tahun lalu.
Yeoh mendakwa Kamarul dalam dua dokumen itu menuduhnya ‘berdakwah mengenai agama Kristian menerusi politik’, mempunyai ‘agenda Kristian’ dan berhasrat ‘menjadikan Malaysia negara Kristian’.
Katanya, ayat berkenaan menyinggung, tidak benar sama sekali, dan cubaan berniat jahat untuk memfitnahnya.
Dalam pemeriksaan balas, Kamarul bertegas layak menyuarakan pendapatnya terhadap Kristianisasi dan undang-undang.
Sangeet: Apa kelayakan formal anda?
Kamarul: Tidak ada.
Kamarul juga memberitahu mahkamah beliau merupakan felo kanan di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), di bawah selian Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sehingga 2018.
Katanya, penggalnya berakhir selepas pertukaran kerajaan susulan PRU14.
Sangeet: Adakah Iksim dibubarkan atas dakwaan salah urus dana berjumlah RM7.4 juta?
Kamarul: Saya tidak pasti.
Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Aliza Sulaiman hari ini.
Kamarul diwakili Khairul Azam Aziz.
Yeoh memfailkan saman pada 2022 dan menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan daripada Kamarul.
Kamarul menafikan kandungan artikel dan laporan polis memfitnah Yeoh. Katanya, ulasannya berdasarkan petikan daripada buku Yeoh, ‘Becoming Hannah, A Personal Journey’, diterbitkan pada 2014.
Katanya, ulasannya bersifat fakta dan benar.