Op Ragada: Bekas datuk bandar ditahan

Op Ragada: Bekas datuk bandar ditahan

Bekas datuk bandar antara empat individu ditahan menerusi Op Ragada.

raza
Permohonan reman terhadap bekas datuk bandar yang ditahan menerusi Op Ragada akan dibuat esok, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
KUALA LUMPUR:
Bekas datuk bandar antara empat lagi individu ditahan hari ini dan semalam menerusi Op Ragada bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata tangkapan turut membabitkan dua wanita yang masing-masing merupakan pengarah urusan syarikat dan bekas pengurus besar serta seorang lelaki, dengan semuanya berumur 53 hingga 71 tahun.

“Semua tangkapan dilakukan di Kuching dan polis turut merampas 32 dokumen di sebuah syarikat berasingan di Kuching,” katanya.

Razarudin berkata pengarah urusan syarikat dan seorang lelaki terbabit direman dua hari, manakala permohonan reman terhadap bekas datuk bandar dan bekas pengurus besar akan dibuat esok.

Sebelum ini, polis menahan lima individu termasuk pegawai pengurusan tertinggi sebuah stesen penyiaran bagi membantu siasatan.

Seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala bakinya termasuk isteri, anak, dan adik ipar pegawai terbabit direman untuk siasatan lanjut.

Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK, Seksyen 403 KK, dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.