
Mahathir berkata DEB mencapai beberapa kejayaan dan jurang antara orang Melayu dan dan kaum lain akan menjadi lebih besar jika dasar itu tidak diperkenalkan pada 1971, yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara masyarakat.
Beliau berkata tindakan afirmatif berasaskan kaum masih diperlukan di Malaysia, tetapi akan tiba masanya dasar itu perlu dihentikan.
“Dalam bidang perniagaan dan perusahaan, ada kemajuan. Ada beberapa orang Melayu yang mencapai kejayaan tetapi kebanyakannya gagal kerana budaya mereka tidak sesuai dengan pengurusan perniagaan.
“Tapi kita tak boleh jadikan ini (DEB) kekal, satu dasar yang kekal. Satu hari kita kena henti DEB ini.
“Tetapi kita harap orang Melayu buat respon yang baik, insya-Allah kita akan kejar kaum-kaum yang lain dan tidak ada terlalu jauh perbezaan pencapaian antara orang Melayu dengan bukan Melayu,” katanya dalam audio siar Khabarnya.
DEB yang diperkenalkan ketika pentadbiran Abdul Razak Hussein pada 1971 bertujuan menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum melalui program tindakan afirmatif yang mengutamakan Bumiputera.
Antara dasar utamanya adalah kuota berasaskan kaum dalam pendidikan yang sering menjadi isu perdebatan hangat. Pengkritik mendakwa ia mendiskriminasi pelajar bukan Bumiputera.
Pada Julai 2019, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa DEB perlu dimansuhkan kerana ia tidak mampan untuk jangka panjang, dan menggesa ia digantikan dengan dasar berasaskan keperluan.
Sekutu rapat Mahathir, Daim Zainuddin, turut berpendapat bahawa tindakan afirmatif sepatutnya berdasarkan keperluan dan bukan kaum, bagi mengelakkan mereka yang mendapat manfaat daripada campur tangan kerajaan untuk Bumiputera terus diperkaya.
Saya tidak rasis, kata Dr M
Mahathir berkata perjuangannya untuk orang Melayu bukan kerana beliau bersikap perkauman, sebaliknya bertujuan membantu komuniti itu mengejar pencapaian kaum lain.
“Orang yang tak bagi orang Melayu ‘catch up’ dengan mereka adalah rasis kerana mereka sudah dapat kekayaan dan anggap mereka sahaja berhak jadi kaya,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan keharmonian sosial negara, orang Melayu perlu berada pada tahap yang setanding dengan kaum lain kerana jurang pendapatan yang besar boleh mencetuskan rasa marah dan iri hati.
Ini, kata Mahathir, boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam negara.
Katanya, salah satu inisiatif utama DEB adalah pendidikan kerana perbezaan budaya turut mempengaruhi cara sesuatu kaum menguruskan kewangan dan mencapai kedudukan sosial yang lebih tinggi.
Menyentuh bagaimana kemiskinan dikaitkan dengan kaum, Mahathir berkata ini terletak pada nilai-nilai yang ada pada budaya yang berbeza.
“Di satu pihak, mereka lebih mengutamakan kejayaan semasa di dunia. Di satu pihak yang lain pula, mudah puas hati, tak payah nak susah nak berhempas pulas nak jadi kaya. Jadi bagi orang yang tidak berusaha berhempas pulas nak capai kejayaan, mereka akan ketinggalan.
“Ada yang berpendapat kita ketepikan soal kaum, cuma bertumpu pada memperkayakan yang miskin daripada semua kaum. Saya dapati bahawa kalau dilayan dengan cara yang sama tanpa mengira kaum, budaya yang satu itu menyebabkan dia tak berjaya,” katanya.
Mahathir berkata sebab itulah penting untuk fokus pada pendidikan dalam kalangan kaum tertentu bagi mengajar mereka cara menguruskan kewangan dan mengendalikan perniagaan sendiri.