Tambah pelaburan tingkat kapasiti guna penjimatan subsidi, kata ahli ekonomi

Tambah pelaburan tingkat kapasiti guna penjimatan subsidi, kata ahli ekonomi

Aimi Zulhazmi Mohd Rashid berkata kerajaan berjaya laksana penyasaran subsidi diesel dengan jangkaan penjimatan hingga RM7.5 bilion setahun.

tvet
Perbelanjaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja mahir boleh ditingkatkan menerusi pertambahan hasil penjimatan penyasaran subsidi diesel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjimatan lebih besar berbanding sasaran menerusi penyasaran subsidi diesel boleh disuntik kepada perbelanjaan meningkatkan produktiviti dan pendapatan masyarakat, kata penganalisis.

Minggu lalu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata langkah diperkenal Jun tahun lalu itu dijangka menjimatkan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion, lebih besar berbanding RM4 bilion diunjurkan.

Aimi Zulhazmi Rashid
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur berkata, rakyat akan mendapat manfaat besar menerusi rasionalisasi subsidi itu yang dijangka disalurkan kepada perbelanjaan kritikal seperti pembangunan, kebajikan atau peningkatan produktiviti.

Katanya, perbelanjaan itu dijangka dapat membantu lebih ramai kumpulan isi rumah dalam menyerap kenaikan kos sara hidup seperti pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (Sara) selain program latihan kemahiran.

Dengan pelaksanaan subsidi RON95 secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini, Aimi menjangkakan lebih banyak penjimatan dapat diperoleh apabila subsidi sampai kepada golongan sasar.

“Ini akan memberikan lebih banyak faedah kepada rakyat. Kejayaan menyalurkan kembali penjimatan ini kepada rakyat juga akan mengukuhkan hala tuju dalam membangunkan Malaysia secara inklusif,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan tahun ini.

Barjoyai Bardai.

Katanya, penjimatan dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Beliau berkata, ini adalah hasil daripada kejayaan pelancaran rasionalisasi subsidi diesel yang menyaksikan penjimatan hingga RM600 juta sebulan direkodkan selepas pelaksanaannya.

Sementara itu, Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata kerajaan harus mempunyai perancangan khusus berkaitan hasil penjimatan rasionalisasi subsidi petrol RON95.

Jelasnya, menerusi rasionalisasi subsidi diesel sebelum ini kerajaan berjaya mengekang penyelewengan bahan api itu sekali gus meningkatkan pemberian bantuan kepada rakyat.

“Mungkin penjimatan ini boleh digunakan untuk pembangunan yang hasilnya dapat dilihat rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.