Suhakam gesa inkues kes kematian tahanan warga Pakistan

Suhakam gesa inkues kes kematian tahanan warga Pakistan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia berkata inkues itu perlu dilakukan bagi menentukan sama ada wujudnya elemen jenayah atau kecuaian.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia memaklumkan hasil siasatan kes itu kepada Jabatan Imigresen dan polis pada Jun tahun lalu tetapi tiada sebarang maklum balas diterima.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk mengadakan inkues ke atas kematian seorang tahanan warga Pakistan di Depot Imigresen Bukit Jalil tahun lalu.

Suhakam berkata inkues itu perlu dilakukan segera bagi mengenalpasti punca kematian tahanan yang dinamakan sebagai Jamshed Ahmed itu dan menentukan sama ada wujudnya elemen jenayah atau kecuaian.

“Suhakam mengesyorkan agar satu inkues kematian di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah dijalankan ke atas kes kematian itu.

“Suhakam telah menghantar laporan siasatan ini kepada Jabatan Peguam Negara pada 26 Jun lalu dengan mengesyorkan agar inkues dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Suhakam berkata, pihaknya menerima laporan tahanan itu meninggal dunia pada 15 Jan tahun lalu ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas didapati tidak sihat dan sangat lemah ketika berada di dalam sel.

Katanya, daripada aduan yang diterima mendakwa kematian tahanan itu adalah berpunca dari penafian hak rawatan oleh Jabatan Imigresen.

“Tahanan mempunyai penyakit diabetes dan memerlukan pengambilan insulin setiap hari. Bagaimanapun, pengadu mendakwa bahawa tahanan itu tidak diberikan insulin sehingga menyebabkan kematian berlaku.

“Hasil dapatan Suhakam dakwaan itu adalah berasas berdasarkan maklumat yang konsisten diperolehi dari keterangan pengadu, rakan tangkapan, anggota dan kakitangan Depot Imigresen serta pegawai perubatan dari HCTM UKM,” katanya.

Menurutnya, satu surat susulan dikeluarkan pada 10 Sept lalu selaras dengan Seksyen 13(3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 untuk mendapatkan maklum balas mengenai tindakan yang diambil pihak berkuasa mengenai pelanggaran hak asasi manusia itu.

Suhakam juga memaklumkan hasil siasatan kes ini kepada Jabatan Imigresen dan polis pada 14 Jun lalu tetapi hari ini tiada sebarang maklum balas diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.