Remaja miliki foto, video lucah didenda RM5,000

Remaja miliki foto, video lucah didenda RM5,000

Tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan didakwa memiliki bahan itu seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

gavel
Seorang remaja 19 tahun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku salah memiliki bahan penganiayaan seksual remaja perempuan, tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang remaja 19 tahun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku salah memiliki bahan penganiayaan seksual remaja perempuan di Kluang, tahun lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan itu membuat pengakuan terhadap pertuduhan pilihan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, menurut Berita Harian.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terbabit iaitu beberapa keping foto dan video lucah milik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Kesalahan dilakukan di pejabat pegawai penyiasat di IPD Kluang pada 2 petang, 4 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mengenali mangsa melalui Telegram sebelum berjumpa di dataran Kluang pada 4 petang, 21 Jun tahun lalu.

Tertuduh membawa mangsa ke rumahnya lalu merakam video bogel sebelum meminta mangsa membuat rakaman lain hari keesokannya dan turut mengugutnya jika tidak mengikut arahan.

Mangsa yang ketakutan kemudiannya melapor polis pada 2 Julai dengan tertuduh ditahan keesokan hari di hadapan sebuah kolej kemahiran, dengan telefon bimbitnya dirampas.

Pemeriksaan dalam telefon bimbit tertuduh menemui beberapa keping gambar dan video dengan bahan lucah terbabit turut disahkan dalam laporan forensik.

Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan dan Diyana Najiha Muhamed Fauzi mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Nur Shuhadah Mahzan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.