Pengarah PBT mengaku tak salah terima suapan RM3,500

Pengarah PBT mengaku tak salah terima suapan RM3,500

Tertuduh, Nor Hasyimah Tamziz, 50, didakwa menerima wang terbabit tanpa balasan daripada seorang kontraktor, dipercayai berkaitan dengan tugas rasminya.

shah alam court
Tertuduh, Nor Hasyimah Tamziz, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima wang tunai RM3,500 daripada kontraktor, enam tahun lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pengarah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima suapan RM3,500 daripada kontraktor, enam tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hasyimah Tamziz, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, menurut Utusan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia sebagai Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Gred F48 di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) didakwa menerima wang itu tanpa balasan daripada seorang kontraktor.

Wang tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan tugas rasminya bagi kerja-kerja pentauliahan dan penaiktarafan infrastruktur sistem rangkaian komputer di pejabat cawangan MBDK.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Mei 2019 dekat sebuah cawangan bank di Kompleks Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kapar.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tahun, denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Peguam V Ayasamy yang mewakili tertuduh kemudiannya memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih belajar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan dicadangkan oleh pendakwaan selain menetapkan kes disebut semula pada 5 Mei depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.