Kementerian Pertahanan nafi tamat khidmat semua panglima, pegawai tertinggi ATM

Kementerian Pertahanan nafi tamat khidmat semua panglima, pegawai tertinggi ATM

Dakwaan itu tiada kaitan pemberhentian atau pertukaran panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti dihebahkan.

Helikopter-Leonardo-AW-139-fb-100222-1
Kementerian Pertahanan menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan berita tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan pihaknya akan menamatkan perkhidmatan semua panglima dan pegawai tertinggi Angkatan Tentera (ATM) disebabkan kontrak helikopter RM16 bilion.

Dalam kenyataan, kementerian berkata dakwaan itu tiada kaitan pemberhentian atau pertukaran panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti dihebahkan.

“Satu laporan berita palsu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan laporan polis juga telah dibuat sebagai tindakan untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu,” katanya.

Terdahulu, sebuah akaun TikTok dakwa kementerian itu akan menamatkan perkhidmatan panglima angkatan tentera (PAT), panglima tentera darat (PTD), panglima tentera laut (PTL) dan panglima tentera udara (PTU) serta pertukaran pegawai tertinggi ATM hujung bulan ini.

Selain itu, pengguna tersebut juga mendakwa akan berlaku pertukaran secara besar-besaran antara pegawai tertinggi ATM.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan berita tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.

“Ditegaskan bahawa menyebarkan berita palsu adalah merupakan kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.

Pada 19 Dis lalu, kerajaan memeterai perjanjian dengan Weststar Aviation Sdn Bhd untuk memajak helikopter bagi kegunaan kementerian, tentera dan agensi kerajaan.

Persetujuan itu adalah untuk pajakan yang diberikan kerajaan kepada Weststar, yang akan membekalkan helikopter untuk tentera, polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan satu helikopter untuk kegunaan Jabatan Perdana Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.