
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pengilang ‘merungut’ harga kampit itu dibuat pada 2008.
Katanya, tiada larangan jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522), malah cadangan itu turut disokong Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras.
“Sekarang, kita sedang buat kajian secara terperinci sama ada mahu membenarkan atau tidak jual beras campuran ini, sebab kalau tidak mahu campur, kita kena pastikan bekalan beras tempatan itu cukup.
“Masalah sekarang ini, banyak aduan dari pengilang termasuk pengilang Bumiputera yang mereka tidak boleh jual beras dengan harga RM26 untuk kampit 10kg sebab itu adalah harga pada 2008,” katanya kepada Utusan Malaysia.
“Hasil kajian ini akan kita bentang dalam masa terdekat iaitu suku pertama tahun ini kepada perdana menteri supaya kita boleh buat perubahan struktur harga beras.”
Mohamad berkata, setiap keputusan dibuat akan meletakkan pesawah sebagai keutamaan, dan pada masa sama turut memikirkan alternatif kepada masyarakat agar tidak terbeban dengan harga beras terlalu tinggi.
Katanya, kementerian juga akan berbincang mengenai ketetapan harga lantai yang perlu dipatuhi pengilang supaya tiada mana-mana pihak yang rasa ‘tertindas’ kerana tidak mampu membeli padi pada harga yang tinggi.
“Bisnes ini biasalah mereka akan berlumba-lumba membeli padi. Kita di peringkat kerajaan memang tidak pernah mengawal berapa harga maksimum yang mereka beli, tetapi kita akan mengawal harga minimum dan mereka tidak boleh beli di bawah harga lantai RM1,300,” katanya.