
Pengarah Kastam Pulau Pinang Rohaizad Ali, berkata rokok itu ditemukan ketika pemeriksaan ke atas sebuah sebuah kontena berlabuh di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira 11.20 pagi, pada 26 Dis.
“Kontena itu diisytiharkan membawa pakaian terpakai, namun hasil pemeriksaan menemukan 22,500 karton mengandungi 4.5 juta batang rokok putih yang disembunyikan di sebalik 175 karton pakaian lusuh dan terpakai.
“Semua barangan disyaki tak berkastam itu dianggarkan bernilai RM1.37 juta serta melibatkan duti berjumlah RM4.47 juta,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Butterworth.
Beliau memaklumkan siasatan awal mendapati kontena itu dari Thailand dan transit di Pelabuhan Klang sebelum dikatakan akan menuju ke India.
Rohaizad berkata, kontena berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berasingan di pelabuhan sama pada 12 Dis, beliau berkata pihaknya menyita 52,790 tin minuman keras jenis bir, dianggarkan RM1.18 juta termasuk cukai.
Beliau berkata, minuman keras itu ditemukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari India dan berdasarkan semakan awal, sindiket membuat ikrar mengisytiharkan ia membawa perabot selain didaftarkan menggunakan alamat syarikat palsu.
“Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas kontena itu menemukan minuman keras bir yang disyaki barang larangan. Sitaan melibatkan 52,790 tin bersamaan dengan 26,395 liter minuman keras jenis bir dianggarkan bernilai RM264,000 serta melibatkan cukai berjumlah RM917,083.20,” katanya.
Tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.