Jangan buat kenyataan bagi ‘kawan terasa’, pemimpin Umno ingatkan Faiz

Jangan buat kenyataan bagi ‘kawan terasa’, pemimpin Umno ingatkan Faiz

Othman Desa tepis kenyataan ahli PKR Faiz Na’aman yang penyokong Najib Razak akan menekan pimpinan parti keluar kerajaan.

Umno menyokong usaha Najib Razak untuk memohon kebenaran tahanan rumah mengikut saluran perundangan dan perlembagaan ditetapkan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mengingatkan ahli PKR Faiz Na’aman supaya tidak membuat kenyataan menyentuh sensitiviti dan memberi gambaran negatif terhadap rakan lain dalam kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Othman Desa, berkata bekas pemimpin Bersatu itu tidak sepatutnya mendakwa penyokong Najib Razak akan menekan pimpinan parti untuk keluar kerajaan jika beliau dibenarkan menjalani tahanan rumah.

“Sekarang isu Najib, mana tahu selepas ini babit pemimpin PKR pula…jadi jangan campur-adukkan pandangan dan bagi ‘kawan terasa’.

Othman Desa

“Umno pun sedar perkara ini dan sebab itu kurangkan cakap hal-hal macam itu…bukan takut tetapi lebih berhemah,” katanya kepada FMT sambil meminta Faiz tidak mengikut rentak pembangkang.

“Sekarang kerajaan perpaduan bawah Anwar Ibrahim manakala Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, pentadbiran berjalan elok.

“Jadi jangan kita bercakap boleh menyentuh hati parti dalam kerajaan perpaduan,” tegasnya.

Kelmarin, Faiz yang menyertai PKR Mac tahun lalu mendakwa, penyokong Najib akan memberi tekanan kepada Presiden Umno Zahid Hamidi untuk keluar daripada kerajaan perpaduan jika bekas presiden itu dibenarkan menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh.

Menurut Faiz lagi, keadaan itu akan membuatkan Umno kembali menjadi pembangkang dan terpaksa mencari rakan politik baharu untuk membentuk kerajaan sebelum atau selepas PRU16.

Najib yang dalam tahanan di Penjara Kajang sedang dalam proses perundangan untuk memohon kebenaran menjalani baki hukuman pemenjaraan di rumah, susulan dakwaan kewujudan titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Minggu lalu, Najib peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum terbabit.

Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menyindir Faiz sebagai ‘katak’ yang tidak layak mengeluarkan kenyataan mengenai partinya.

“Kalau ‘level’ katak ni tak layak nak komen pasal parti orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.