Buku Hannah tak pernah diharam kerajaan sejak 2014, mahkamah diberitahu

Buku Hannah tak pernah diharam kerajaan sejak 2014, mahkamah diberitahu

Profesor UUM Kamarul Zaman Yusoff akui tiada tindakan sedemikian diambil walaupun ketika ahli PAS, Takiyuddin Hassan menjadi menteri undang-undang.

hannah yeoh kamarul zaman
Hannah Yeoh memfailkan saman terhadap Kamarul Zaman Yusoff melibatkan dua hantaran Facebook yang beliau dakwa menuduhnya ‘menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian’.
KUALA LUMPUR:
Seorang profesor sains politik mengakui di Mahkamah Tinggi semalam bahawa buku ditulis Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan diterbitkan lebih 10 tahun lalu tidak pernah diharamkan kerajaan.

Dalam pemeriksaan balas, Kamarul Zaman Yusoff yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata beliau membeli buku Yeoh, ‘Becoming Hannah, A Personal Journey’, di Kinokuniya pada 2017.

Ketika memberi keterangan dalam saman libel dikemukakan Yeoh berkait dua hantaran Facebook diterbitkan pada Mei tahun sama, Kamarul mengakui membuat dua hantaran itu dan bersetuju ia merujuk Yeoh, yang juga Ahli Parlimen Segambut.

Beliau turut bersetuju hantaran melabel Yeoh ‘hipokrit’ dan ‘gambaran yang diberikan melalui buku ini adalah bahawa, bagi DAP, pemisahan urusan politik daripada urusan agama ini hanya perlu dibuat jika urusan agama ini adalah urusan agama Islam, tetapi jika urusan agama ini adalah urusan agama lain seperti Kristian maka tidak mengapa’.

Kamarul menolak dakwaan peguam Sangeet Kaur Deo, mewakili Yeoh, bahawa Muslim di negara ini tidak pernah membangkitkan bantahan terhadap kandungan buku tersebut.

Namun, beliau bersetuju sama ada mufti, menteri undang-undang atau mana-mana pihak berkuasa lain tidak mengambil tindakan terhadap buku itu, sejak ia diterbitkan pada 2014.

Sangeet: Adakah anda bersetuju itu adalah kedudukannya, walaupun ketika PAS menjadi menteri undang-undang?

Kamarul: Saya setuju.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjadi menteri portfolio undang-undang pada Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Kamarul, yang mempunyai kecenderungan profesional melibatkan pembangunan parti politik negara, khususnya PAS, juga bersetuju Rafizi Ramli dan Saari Sungib menulis kata pengantar untuk buku itu dan tidak mempunyai masalah dengan kandungannya.

Ketika itu, Rafizi menjadi naib presiden PKR yang kini menteri ekonomi, manakala Saari daripada Amanah merupakan bekas Adun Selangor tiga penggal.

Kamarul yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada perdana menteri pada 2021 hingga 2022, menafikan dua hantaran dibuat memfitnah Yeoh.

Katanya, ulasannya berdasarkan petikan daripada buku itu sendiri, bersifat fakta dan benar.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Aliza Sulaiman pada Khamis.

Kamarul diwakili Khairul Azam Aziz.

Yeoh memfailkan saman pada 2022, mendakwa kenyataan Kamarul menuduhnya ‘berdakwah mengenai agama Kristian, termasuk menyeru komuniti Kristian untuk terlibat dalam politik’.

Beliau mendakwa Kamarul juga menuduhnya mempunyai ‘agenda Kristian’ dan mahu ‘menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian’.

Yeoh berkata, ayat-ayat itu menyinggung, tidak benar sama sekali, dan berniat jahat untuk memfitnahnya. Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan daripada Kamarul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.