Sultan Pahang mahu infrastruktur jalan raya ditambah baik

Sultan Pahang mahu infrastruktur jalan raya ditambah baik

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggesa pihak berkuasa memasang lebih banyak tanda keselamatan dan lampu di jalan raya.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyantuni Semek Muda (kiri) yang kehilangan anak perempuan, menantu lelaki dan tiga cucu dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas. (Gambar Bernama)
PEKAN:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu infrastruktur jalan raya di negeri itu ditambah baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Baginda bertitah pemasangan tanda keselamatan dan lampu di lebuh raya serta jalan kampung terutamanya di kawasan selekoh perlu diberi perhatian untuk keselamatan pengguna.

“Saya dimaklumkan kekurangan lampu misalnya di kawasan Karak (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong) dan saya hendak pergi periksa dahulu (kerana) ini antara komen saya yang dengar dan minta untuk disuarakan.

“Selain daripada infrastruktur, saya juga hendak mengingatkan pemandu untuk memeriksa keadaan kereta. Kadangkala keadaan kenderaan tidak baik (tetapi) kita paksa bawa (pandu) ke suatu destinasi,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan mencemar duli menyantuni waris lima sekeluarga yang maut akibat kemalangan jalan raya di KM65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin pada Sabtu lepas, di Kampung Sepauk.

Baginda turut mengingatkan pemandu supaya sentiasa berhati-hati terutamanya semasa hujan atau keadaan gelap selain perlu berhenti rehat jika berasa letih.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 asnaf terdiri daripada penduduk setempat di Masjid Nenasi di sini.

Sementara itu, Semek Muda, 62, yang kehilangan anak perempuannya Rahimah Awang akibat kemalangan itu, menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Pahang yang mencemar duli ke kediamannya dan memberi kata semangat kepada mereka sekeluarga.

“Baginda berpesan supaya banyak bersabar. Saya berserah kepada Allah dan reda dengan pemergian mereka sekeluarga. Rahimah merupakan tulang belakang keluarga dan sering membantu saya, menyebabkan kehilangannya meninggalkan kesan kepada keluarga,” katanya.

Pada 11 Jan lepas, Rahimah, 38, dan suami Hamzah Zahari, 53, serta anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4, maut selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.