
Memberi keterangan membela diri dalam saman sivil 1MDB terhadap bekas pengerusinya, Irwan Serigar Abdullah, dan dirinya, Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau hanya menyedari pembelian itu selepas Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa defendan dan aset.
Katanya, beliau kemudian mengetahui dana yang diperoleh 1MDB, termasuk daripada dua terbitan bon dan dua pinjaman, turut digunakan untuk membeli kapal layar mewah dan hartanah, termasuk sebuah hartanah didaftarkan atas nama Kassem Dean, suami penyanyi Alicia Keys.
Arul Kanda berkata, beliau kemudian mengetahui bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan rakannya Eric Tan adalah pemilik benefisial wang yang didepositkan dalam beberapa akaun bank.
“Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi tentang transaksi ini termasuk pembelian barang kemas untuk Rosmah yang merupakan isteri kepada ‘Malaysian Official One’,” katanya ketika disoal balas peguam 1MDB, Raphael Kok.
Mahkamah semalam mendedahkan bahawa ‘Malaysian Official One’ merujuk kepada Najib.
Dokumen DoJ turut menunjukkan bahawa sebanyak USD1.3 juta telah digunakan untuk membeli 27 rantai dan gelang emas untuk Rosmah.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan, mendakwa mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah USD1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukarkan kepada Brazen Sky Ltd investment, dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.
1MDB juga mendakwa, Arul Kanda dan Irwan melakukan pecah amanah jenayah serta konspirasi dengan menyeleweng USD3.5 bilion dana syarikat itu yang dibayar kepada Aabar Investments, dan USD1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.
1MDB mendakwa Irwan turut bersekongkol dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda mengikut perjanjian tersebut, tanpa mengira kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian serta kerosakan.
Justeru, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar USD6.59 bilion bagi pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berhubung Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.
Arul Kanda dilantik sebagai pengarah 1MDB pada Januari 2015 dan kemudian dinamakan semula sebagai CEO dan presiden kumpulan pada tahun berikutnya.
Dalam pembelaannya, Arul Kanda berkata beliau menyerahkan siasatan terhadap pelbagai salah laku itu kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Beliau berkata, peranannya sebagai CEO adalah untuk melaksanakan pelan rasionalisasi yang bertujuan memulihkan syarikat itu, menyelesaikan hutang sedia ada, dan memulakan semula projek yang tergendala, termasuk Bandar Malaysia dan TRX Development.
Irwan, yang dilantik sebagai pengerusi oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan pada Mei 2016, berkata beliau dilantik khusus untuk memandu 1MDB melalui pelan rasionalisasi tersebut.
Peguam Sanjay Mohan dan Adam Lee mewakili Arul Kanda manakala peguam Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan mewakili Irwan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.