
Penyanyi dikir barat itu, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30 atau lebih dikenali Eda Ezrin, bersama suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 Nov tahun lepas.
Zuhaira dan Erdeka juga didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki pil tersebut, namun mengaku bersalah bagi tuduhan menggunakan dadah di hadapan Hakim Yuan Khao Kham.
Keenam-enam mereka diwakili tiga peguam termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand.
Hakim meminta keenam-enam yang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki dadah untuk mencari keterangan dan saksi bagi menyokong tuntutan mereka.
“Kes ini adalah kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya mahu memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
“Lazimnya, ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mahkamah menyelesaikan kes seperti ini, tetapi saya berjanji akan membuat keputusan awal Mac.”
Hakim menetapkan 11, 13 dan 14 Feb untuk keenam-enam tertuduh mencari saksi dan menyediakan keterangan kepada mahkamah.