Kerajaan tiada hasrat tarik balik larangan merokok di pejabat

Kerajaan tiada hasrat tarik balik larangan merokok di pejabat

Menteri kesihatan berkata akta dan peraturan berkaitan termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 akan terus dikuatkuasakan.

Larangan merokok di pejabat adalah sebahagian usaha kerajaan melindungi kesihatan awam sambil menegaskan peraturan itu dirancang dengan rapi bagi memastikan persekitaran kerja bebas asap rokok.
BANGI:
Kementerian Kesihatan tidak berhasrat menarik balik larangan merokok di pejabat yang berkuat kuasa 1 Jan lalu, kata Menteri Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, semua akta dan peraturan berkaitan termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan terus dikuatkuasakan seperti ditetapkan.

“Pastinya tidak (menarik balik larangan tersebut). Semua akta dan peraturan berkaitan akan terus dikuatkuasakan.

“Kita telah melaksanakan penguatkuasaan pendidikan terlebih dahulu. Mulai 1 April, beberapa peraturan tambahan akan dilaksanakan secara lebih tegas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-nilai Syariah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai peguam Mohamed Haniff Khatri, yang sebelum ini gagal mencabar larangan tersebut, sekali lagi memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan itu.

Dzulkefly berkata, kementerian bersedia untuk menghadapi cabaran undang-undang dikemukakan Haniff.

“Beliau berhak untuk mengambil langkah undang-undang dan semakan kehakiman ini. Namun proses perundangan perlu dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, larangan merokok di pejabat merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi kesihatan awam sambil menegaskan bahawa peraturan itu telah dirancang dengan rapi bagi memastikan persekitaran kerja bebas asap rokok demi kesejahteraan rakyat.

Sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk premis dobi dan bangunan tempat kerja yang dimasukkan dalam senarai kawasan larangan di bawah Akta 852 pada 1 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.