Fomca gesa kerajaan segera perkenal mekanisme beli minyak masak subsidi

Fomca gesa kerajaan segera perkenal mekanisme beli minyak masak subsidi

Fomca mendakwa ketirisan minyak masak peket dijual pada harga RM2.50 semakin meruncing kerana penjualannya mudah dimanipulasi.

Sebelum ini kerajaan pernah mempertimbangkan menyediakan sistem kad pengenalan khas bagi membeli minyak masak peket bersubsidi.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan pengguna menggesa kerajaan memperkenalkan segera mekanisme penyaluran subsidi minyak masak peket termasuk kaedah pembelian untuk golongan sasar bagi mengelakkan ketirisan.

Berdasarkan laporan media, kerajaan pernah mempertimbangkan menyediakan sistem kad pengenalan khas bagi pembelian barang bersubsidi itu selain ada cadangan supaya ia dimansuhkan dan digantikan bantuan kewangan.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin, berkata berdasarkan laporan media, ketirisan dan penyelewengan minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 dilihat semakin meruncing.

Katanya, perlu ada tindakan segera pihak berkuasa untuk mengelakkan kerajaan mengalami kerugian bernilai jutaan ringgit kerana bantuan tidak sampai kepada golongan sasar.

“Sekarang isunya bukan warga asing sahaja tetapi peniaga juga guna minyak masak paket bersubsidi kerana kaedah pembelian mudah dimanipulasi.

“Bagaimanapun, mereka yang memerlukan tidak dapat beli,” katanya kepada FMT sambil merujuk laporan media berhubung kes penyelewengan minyak masak peket bersubsidi awal tahun ini.

Pada 9 Jan lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah premis di Batu Kurau, Taiping, yang didapati menjual minyak masak peket 1kg hanya kepada pelanggan tertentu.

Di Pahang pula, KPDN menemui 112 kg minyak masak peket dalam serbuan di sebuah restoran didakwa menggunakan barang bersubsidi itu untuk menjalankan perniagaan.

Nur Asyikin juga berharap Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) digunakan sebagai asas untuk menyediakan kaedah pembelian minyak masak peket bersubsidi supaya lebih bersasar.

Menurutnya, pengguna juga perlu sedar peranan mereka dan tidak mudah tertipu dengan taktik peniaga tertentu yang mengambil kesempatan dengan penjualan barang bersubsidi itu.

“Ada peniaga yang beri syarat mereka yang mahu dapatkan minyak itu kena beli barang lain, perkara itu tidak boleh.

“Pengguna tiada pilihan dan kesukaran mendapatkan minyak masak peket itu membuatkan mereka bersetuju dengan syarat peniaga,” katanya mendesak tindakan diambil terhadap kelompok peniaga terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.