ART Johor fokus 3 kawasan sesak kritikal

ART Johor fokus 3 kawasan sesak kritikal

Exco Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kawasan akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu adalah Skudai, Iskandar Puteri dan Tebrau.

ART sarawak
Prototaip sistem ART sedang menjalani ujian di Kuching, Sarawak, Ogos lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Johor akan memberi fokus kepada tiga kawasan koridor utama selepas memutuskan untuk menggunakan sistem aliran transit automasi (ART) bertingkat bagi mengatasi kesesakan di ibu negerinya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kawasan akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu adalah Skudai, Iskandar Puteri dan Tebrau.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan di kebanyakan tempat sekitar pusat bandar raya Johor Bahru.

“Bagaimanapun, berapa jumlah peratusan (kesesakan) yang mampu dikurangkan itu kita belum boleh buat jangkaan lagi buat masa ini,” katanya kepada FMT.

Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Fazli berkata, pelaksanaannya ketika kini berada di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) bagi tujuan penelitian secara terperinci cadangan yang dibuat kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, asas pertimbangan kita memilih sistem pengangkutan (ART) yang akan dibangunkan itu dapat disiapkan pada akhir Disember 2026. Ia selaras tarikh bermula operasi sistem transit rapid (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura pada 2027.

“Kos ART akan melibatkan sejumlah RM7 bilion hingga RM8 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Fazli berkata kerajaan Johor memilih penggunaan ART di Johor Bahru berbanding transit aliran ringan (LRT) disebabkan pelbagai faktor termasuk kos.

Katanya, anggaran kos keseluruhan penyediaan infrastruktur LRT menelan RM16.7 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.