
Wanita mahu dikenali Nona, 22, berkata dia juga terharu selepas bantuan diberi tanpa mengira bangsa dan agama mendapat pujian pengguna media sosial yang memberinya gelaran ‘Akak Scooter’.
Baru-baru ini, tular video di media sosial menunjukkan seorang wanita membantu lelaki warga emas yang berlumuran darah selepas terbabit kemalangan motosikal berhampiran Tol Tanjung Kupang.
Tanpa menghiraukan keadaan lelaki itu yang berlumuran darah, wanita tersebut dilihat tenang merawat mangsa dan membalut lukanya dengan kain.
Menceritakan kejadian itu, Nona berkata ia berlaku pada 8 Jan lalu ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura ke rumah di Skudai.
Katanya, ketika hampir sampai ke plaza tol dia melihat ramai penunggang motosikal berhenti sebelum ternampak dua lelaki yang berlumuran darah terbaring atas lebuh raya.
“Saya terus menghentikan motosikal sebelum mengeluarkan kain bersih dari kotak simpanan bagi menekap kecederaan warga emas berusia 68 tahun yang juga rakyat Singapura dan seorang lagi lelaki dalam lingkungan 50-an rakyat tempatan, yang cedera parah dipercayai terjatuh selepas berlanggar sesama sendiri.
“Warga emas itu mengalami pendarahan agak parah apabila tulang di bahagian sikunya terkeluar menyebabkan saya menekap tempat pendarahan supaya dia tidak kehilangan darah lebih banyak,” katanya kepada Berita Harian.
Katanya, dia membantu mangsa dan menunggu bersama mereka antara 20 hingga 30 minit sebelum ambulans tiba.
Nona berkata, dia belajar ilmu pertolongan cemas ketika bekerja di sebuah taman tema di Johor dan tidak menyangka videonya membantu mangsa kemalangan itu tular serta mendapat penghargaan orang ramai.
“Saya ikhlas membantu dengan sedikit ilmu asas sokongan hidup dan pertolongan cemas yang pernah dipelajari, tak sangka pula video pertolongan diambil orang awam ini tular,” katanya.