SAR 3 nelayan hilang diperluas

SAR 3 nelayan hilang diperluas

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Romli Mustafa berkata sektor pencarian diperluaskan meliputi keluasan sejauh 371.28 batu nautika persegi.

Operasi mencari dan menyelamat tiga nelayan hilang ditangguhkan 7 malam Ahad kerana tidak menemui sebarang petunjuk. (Gambar Maritim Malaysia)
PETALING JAYA:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan, termasuk dua beranak yang dilaporkan hilang di sekitar Pulau Payar sejak Khamis lalu, kini memasuki hari ketiga.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa, berkata operasi bermula 7.30 pagi tadi membabitkan aset udara dan sebuah kapal Maritim Malaysia, bot ronda polis serta bot Angkatan Pertahanan Awam.

“Hari ini, sektor pencarian diperluaskan meliputi keluasan sejauh 371.28 batu nautika persegi,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurutnya, identiti mangsa ketiga yang hilang bersama dua nelayan lain dikenal pasti sebagai Mohamad Al-Amin Sufian, 29.

Semalam, operasi SAR ditangguhkan pada 7 malam selepas pencarian sejauh 51.48 batu nautika persegi tidak menemui sebarang petunjuk.

Media sebelum ini melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang ketika menangkap ikan menggunakan rawai sejak petang Jumaat lalu di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.

Dua daripada nelayan itu ialah Asrulhisham Zainon, 47, bersama anak bongsunya, Mohd Aiman, 16.

Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata, berdasarkan laporan kehilangan tiga individu itu, mangsa dikatakan menaiki bot berasingan dengan kumpulan nelayan dari Jeti Batu Lintang Tikam Batu dan dijangka pulang pada 4 pagi Jumaat lalu.

Tetapi, katanya, mangsa meminta kumpulan nelayan itu pulang dahulu kerana kerjanya belum selesai.

“Selepas itu, perhubungan mereka terputus di Pulau Payar. Ada kawan mangsa kesan lokasi terakhir mangsa masih di lokasi sama, iaitu di pulau itu,” katanya dipetik media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.