Polis selesai rakam keterangan KJ

Polis selesai rakam keterangan KJ

Khairy Jamaluddin berkata beliau memberi keterangan kira-kira sejam berkaitan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

khairy
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Khairy Jamaluddin disiasat kerana mengeluarkan kenyataan fitnah dan salah guna kemudahan rangkaian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin selesai memberi keterangan kepada polis petang tadi bagi membantu siasatan berkait komen berhubung dakwaan ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Proses rakam keterangan bermula 5.15 petang di pejabat Khairy di Damansara sebelum bekas menteri kesihatan itu dilihat keluar dari bangunan kira-kira 6 petang, lapor Berita Harian.

“Saya memberikan keterangan kepada polis berkaitan laporan-laporan polis yang telah dibuat terhadap saya.

“Itu sahajalah…saya nak mengesahkan bahawa saya selesai memberi keterangan. Terima kasih kepada pihak polis dan terima kasih kepada pihak media,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan dibuka selepas polis menerima dua laporan terhadap bekas pemimpin Umno itu Jumaat lalu.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan merekodkan kenyataan Khairy petang ini, di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Jumaat lalu, seorang pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, membuat laporan polis terhadap Khairy kerana mengeluarkan komen beliau ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum.

Dilaporkan, Khairy menerusi audio siar ‘Keluar Sekejap’ pada Jumaat, mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.