PN mesti hati-hati berhubung isu titah adendum, kata penganalisis

PN mesti hati-hati berhubung isu titah adendum, kata penganalisis

Kritikan lanjut berhubung kurangnya tindakan mengenai titah adendum boleh memakan diri jika ia dilihat mengganggu-gugat Yang di-Pertuan Agong.

sokong najib
Penyokong Najib Razak, ahli Umno dan Perikatan Nasional mengadakan perhimpunan pada 6 Jan sebagai solidariti dengan bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan itu.
PETALING JAYA:
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mesti berhati-hati dalam isu titah adendum bagi membolehkan Najib Razak menjalani tahanan rumah, bagi memastikan kenyataan mengenai isu itu tidak dianggap menyerang institusi diraja, kata dua penganalisis politik.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Center berkata pendekatan lantang PN dalam isu itu boleh memakan diri jika kritikan mereka dilihat oleh orang ramai sebagai bertentangan dengan institusi diraja.

“PAS dan PN mesti berhati-hati, kerana sebarang salah langkah boleh membawa kepada tuduhan mengganggu-gugat institusi diraja, yang dipandang tinggi oleh orang ramai,” katanya kepada FMT.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata titah adendum itu dihantar semula ke Istana Negara oleh peguam negara ketika itu Ahmad Terrirudin Salleh selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan tahun lepas.

Anwar berkata beliau mengelak daripada mengulas mengenai titah itu sebelum ini, kerana ia melibatkan kedua-dua Yang di-Pertuan Agong semasa dan pendahulunya, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menamatkan penggalnya pada hari sebelumnya.

Hisomuddin melihat kenyataan Anwar sebagai langkah strategik untuk meredakan ketegangan selepas pemimpin pembangkang menuduh kerajaan menyembunyikan titah adendum itu dan tidak menghormati institusi diraja.

‘Checkmate’ buat PN

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata beliau percaya kenyataan Anwar telah menangani serangan PN secara berkesan, dengan pakatan pembangkang tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengambil kesempatan terhadap isu itu.

“Tidak banyak yang boleh dilakukan mereka dan sebarang kritikan lanjut boleh memakan diri. Tuduhan PN tentang kerajaan menyembunyikan titah adendum tidak lagi berdaya maju.

“Kerajaan Anwar telah menangani isu ini mengikut protokol dan kini PN tiada pilihan selain berdiam diri,” katanya. Pembangkang akan berada dalam bahaya secara tidak langsung mengkritik Agong ‘yang akan menjadi langkah berbahaya’ dengan mempersoalkan mengapa perintah tahanan rumah itu tidak dilaksanakan.

Azmi juga berkata tindakan Umno untuk mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib daripada Sultan Ibrahim adalah strategik dan ‘cara paling selamat’ untuk mengendalikan isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.