KK Mart gantung urusan perniagaan dengan pembekal sandwich

KK Mart gantung urusan perniagaan dengan pembekal sandwich

Rangkaian kedai serbaneka itu memaklumkan bekalan produk daripada Shake and Bake Cafe untuk semua cawangannya dihentikan.

sandwich
Universiti Malaya berkata arahan penutupan dikeluarkan susulan label halal diragui berkait produk ‘sandwich ham & cheese’.
PETALING JAYA:
KK Mart membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal produk ‘sandwich ham & cheese’ yang dijual di salah satu cawangannya di Universiti Malaya (UM).

Dalam kenyataan, rangkaian kedai serbaneka itu turut memaklumkan kemasukan produk daripada Shake and Bake Cafe itu ke semua cawangan kedai dihentikan.

“Untuk pengetahuan semua, hanya 16 KK Concept Store sahaja yang mempunyai kemasukan produk ini,” katanya, merujuk kedai di kampus universiti tersebut.

UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.

KK Mart juga berkata, pihaknya mengeluarkan surat tuntutan pada 10 Jan kepada pembekal melalui peguam, David Gurupatham & Koay, serta membuat laporan polis pada 11 Jan.

“Pihak Shake and Bake Cafe mengemukakan (kepada kami) sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Penulisan perkataan ini (halal) adalah daripada Shake and Bake Cafe,” katanya.

KK Mart berkata, pihaknya juga maklum serbuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas kilang Shake and Bake Cafe Jumaat lalu. Katanya, KK Mart bersedia memberikan kerjasama sebaiknya.

“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan kami, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan kami.

“Pihak syarikat juga sentiasa memandang serius dan mengambil langkah langkah untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya.

Sandwich, pembekal tiada sijil halal

Sementara itu, Jakim mengesahkan ‘sandwich ham & cheese’ yang dijual di kedai serbaneka di UM tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia.

“Oleh itu, tindakan syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan merupakan satu kesalahan bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Tindakan undang-undang juga diambil oleh KPDN. Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi ‘Verify Halal’,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.