Bekas guru besar didakwa subahat kemuka tuntutan palsu RM500,000

Bekas guru besar didakwa subahat kemuka tuntutan palsu RM500,000

Zalina Bidin didakwa bersubahat dengan dua individu mengemukakan dokumen palsu tuntutan pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan.

Zalina Bidin
Bekas guru besar Zalina Bidin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 15 pertuduhan bersubahat menipu dan mengemukakan dokumen palsu. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Bekas guru besar sebuah sekolah rendah di Marang didakwa di Mahkamah Sesyen atas 15 pertuduhan bersubahat menipu dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan berjumlah RM500,318.

Tertuduh, Zalina Bidin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan 12 pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan pembantu tadbir kanan dan ejen sebuah syarikat pembekalan menipu dengan mengemukakan dokumen palsu kepada sekolah berkenaan di antara 2 Mei 2022 hingga 20 Feb 2023.

Tindakan itu menyebabkan sekolah tersebut terpedaya sehingga mengeluarkan 12 keping cek bernilai keseluruhan mencecah setengah juta ringgit.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan penyelia sebuah syarikat kebersihan mengemukakan Borang Pengesahan Bilangan Pekerja dan Rekod Kehadiran Pekerja Kebersihan yang mengandungi butiran palsu.

Dokumen itu digunakan bagi menuntut pembayaran gaji pekerja kebersihan sedangkan pekerja tersebut tidak pernah hadir bekerja.

Zalina didakwa melakukan kesalahan itu di sekolahnya antara Julai hingga Sept 2022 dan dia berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Feisal Mohd Azmi menawarkan jaminan RM50,000 selain syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Terengganu.

Peguam Mohd Hazwan Hamidun memohon agar jaminan anak guamnya dikurangkan mengambil kira tempoh perkhidmatan tertuduh selama 16 tahun sebagai penjawat awam selain sedang mendapatkan rawatan psikiatri di hospital.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan oleh Feisal sebelum menetapkan 17 Feb depan untuk pengurusan kes bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.