3 nelayan hilang ditemukan selamat di Aceh

3 nelayan hilang ditemukan selamat di Aceh

Tiga nelayan itu dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar, Khamis lalu.

maritime malaysia
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata pihaknya mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk membawa nelayan itu pulang.
ALOR SETAR:
Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang setelah menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar, Khamis lepas ditemukan selamat di Indonesia.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata penemuan Asrul Hisham Zainon, 47, anaknya Shahril Aiman Asrul Hisham, 16, serta Mohamad Al-Amin Sufian, 29, itu dimaklumkan oleh ahli keluarga mereka.

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat daripada adik kepada seorang daripada mangsa bahawa ibunya telah dihubungi nelayan berkenaan dan memaklumkan bahawa mereka bertiga berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Pihak Maritim Malaysia menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia dan dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mereka diselamatkan oleh nelayan Aceh Tamiang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menerusi MRSC Langkawi akan mengadakan rundingan bersama Basarnas bagi urusan membawa pulang ketiga-tiga nelayan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan tiga nelayan itu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah menjalankan aktiviti merawai di Pulau Payar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.