
Nik Nazmi berkata sebelum subsidi bersasar dilaksanakan, orang ramai akan bergantung pada petrol atau diesel kerana ia murah.
Kebergantungan pada bahan api fosil adalah sesuatu yang kerajaan mahu kurangkan dengan menyediakan tenaga boleh diperbaharui sebagai pilihan yang ‘lebih menarik’, katanya dalam temu bual dengan FMT.
“Dengan tidak mensubsidikan bahan api fosil lagi, kita dapat lihat peralihan itu berlaku. Saya rasa itu perkara paling mudah.”
Menurut suatu kajian global baru-baru ini, kos tenaga boleh diperbaharui kini lebih rendah berbanding bahan api fosil di rantau Asia Pasifik, tenaga suria merupakan sumber kuasa paling murah di rantau ini, manakala bahan api fosil akan terus menjadi lebih mahal.
Nik Nazmi berharap pemansuhan subsidi untuk RON97 dan diesel tahun lepas akan menggalakkan rakyat yang berkemampuan membeli kenderaan elektrik (EV) lantaran harga bahan api yang lebih tinggi.
Mendorong rakyat memilih tenaga boleh diperbaharui dan beralih ke EV akan membantu usaha penyahkarbonan negara, katanya.
Nik Nazmi mempengerusikan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang bertujuan untuk mempercepatkan pewujudan dan penggunaan inisiatif penyahkarbonan.
Beliau mengakui inisiatif subsidi bersasar bukan keputusan mudah memandangkan kesan politik, dan subsidi bersasar untuk RON95, yang digunakan oleh majoriti rakyat dan akan dikuatkuasakan akhir tahun ini, merupakan perubahan yang besar.
Oleh kerana beliau pernah menjadi pembangkang, Nik Nazmi sedia maklum bahwa topik ini sensitif.

Memetik bukunya, ‘Saving the Planet: Climate and Environmental Lessons from Malaysia and Beyond’, Nik Nazmi menyorot perhatian pada tindak balas yang dihadapi oleh Datuk Bandar London, Sadiq Khan, apabila beliau memperluaskan dasar zon pelepasan ultra rendah.
Ia membawa kepada kemenangan tipis Parti Konservatif pada pilihan raya kecil, yang menjadikan pemilihan itu sebagai ‘referendum’ terhadap dasar ULEZ yang diperkenalkan Khan.
Dasar itu menetapkan kereta yang paling berusia dan paling cemar akan dikenakan surcaj harian untuk memasuki zon itu.
Nik Nazmi menulis bahawa Khan dilaporkan tidak dialu-alukan oleh partinya sendiri, iaitu Parti Buruh, untuk berkempen pada pilihan raya. Parti itu juga percaya ia kalah kerana ULEZ.
Maka, inisiatif subsidi bersasar perlu ditangani dengan baik untuk mengelakkan tindak balas politik yang boleh menjadi masalah besar, katanya.
“Saya mungkin hilangan pekerjaan, dan, maksud saya, parti pemerintah sekarang mungkin hilang kuasa, dan kemudian kerajaan seterusnya mungkin kata tidak berbaloi melakukannya (subsidi bersasar),” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik risiko, Nik Nazmi merasakan ia sesuatu yang perlu dilakukan. “Ia bagus untuk perbendaharaan negara. Ia bagus untuk alam sekitar dan saya fikir ia peralihan yang tepat yang kami ingin tempuhi.”