
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan, berkata langkah itu susulan peningkatan jumlah kontraktor kelas sama di seluruh negara ketika ini.
“Saya mencadangkan agensi kerajaan memperbanyakkan kerja-kerja untuk kontraktor G1, kerja itu boleh dipecahkan kepada skop lebih kecil, maka daripada satu kontraktor besar yang dapat, kita boleh turunkan kepada beberapa kontraktor G1.
“Kita ada banyak agensi yang boleh buat demikian termasuk Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Selain itu, program khas boleh dilaksanakan khususnya pembinaan lebih banyak dewan, balai raya dan surau di kampung,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia Cawangan Johor.
Ahmad berkata, dalam usaha memperkasakan kontraktor kelas Bumiputera G1 hingga G4, peruntukan berjumlah RM450 juta telah diberi tahun ini membabitkan kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara.
“Agihan projek akan dibuat secara undian bagi memastikan semua pihak mendapat peluang sama rata,” katanya.
Setakat ini, terdapat 67,300 kontraktor kelas G1 yang dahulunya dikenali sebagai kelas F, dengan daripada jumlah itu 49,162 bertaraf Bumiputera.