Isu kelewatan MyDigital ID, 5G kedua dibincang 12 Feb

Isu kelewatan MyDigital ID, 5G kedua dibincang 12 Feb

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dua isu itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat Negara bulan depan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo mengakui timbul masalah kelewatan pelaksanaan MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua yang turut membabitkan beberapa kementerian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara membabitkan MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat Negara pada 12 Feb ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata mesyuarat itu akan membantu mencari penyelesaian segera untuk isu berkenaan.

Beliau mengakui timbul masalah kelewatan inisiatif itu yang turut membabitkan beberapa kementerian.

“Kami sedang berusaha menyelesaikannya dan seperti saya katakan sebelumnya, ini adalah sesuatu yang kami fokuskan dan akan berusaha sebaik mungkin.

“Ini adalah sesuatu yang PM (perdana menteri) minta kami fokuskan. Kami sedang lakukan apa yang terbaik dan harapan kita untuk cuba menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya menurut Sinar Harian selepas menghadiri Program Jelajah Malaysia Digital @ Perak di Ipoh.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan kecewa dengan kelewatan beberapa projek transformasi, termasuk pelaksanaan MyDigital ID, rangkaian 5G kedua dan rundingan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, pelaksanaan MyDigital ID lewat setahun, manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat maklum balas positif daripada DNB dan syarikat telekomunikasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.